Dua bekas pemimpin DAP Perak yang keluar parti mengesahkan wujud rancangan untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan kerajaan negeri Perak ketika pemerintahan Pakatan Harapan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong, A. Sivasubramaniam mendakwa, rancangan tersebut sudah lama dibincangkan oleh Jawatankuasa DAP Perak dan menjadi antara isu yang dibincangkan setiap kali mereka bermesyuarat.

Paul Yong merupakan bekas Bendahari DAP Perak manakala Sivasubramanian pula bekas Penolong Setiausaha Organisasi DAP Perak.

Sehubungan itu, Paul Yong dan Sivasubramaniam memberi amaran kepada kepimpinan DAP supaya berhenti menuduh mereka sebagai katak dan pengkhianat, ekoran tindakan mereka keluar parti menjadi ADUN Bebas.

"Hasrat mereka, mereka hendak letakkan seorang ADUN Melayu dari DAP sebagai Menteri Besar Perak dan juga komplot beramai-ramai untuk menjatuhkan YB Tronoh untuk mengambil alih portfolio beliau.

"Saya nak bagi tau kepada seluruh rakyat Perak, walaupun seluruh rakyat Malaysia berhasrat untuk tukar kerajaan BN pada pihan raya yang lepas, tapi di negeri Perak, jikalau bukan YAB ketika itu Ahmad Faizal, bukan dengan sokongan YAB Faizal, saya ingat DAP tak boleh tubuhkan kerajaan.

"Beliaulah yang membawa dua orang dari parti UMNO," kata Sivasubramaniam dalam sidang media, di sini pada Selasa.


BACA: Faizal Azumu letak jawatan MB, kerajaan Perak bubar serta merta

Kedua-dua ADUN berkenaan turut mengesahkan terdapat usaha untuk membawa usul tidak percaya terhadap Menteri Besar di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri tetapi tidak berjaya.

Pada Isnin, Ahmad Faizal ketika mengumumkan perubahan kerajaan negeri mendedahkan bahawa beliau telah dikhianati apabila cuba dijatuhkan sejak awal menjadi Menteri Besar Perak.

Kira-kira sejam selepas pengumuman itu, Paul Yong dan Sivasubramaniam bersama-sama ADUN Titi Serong dari Amanah, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengumumkan keluar parti masing-masing sekali gus menjadi ADUN Bebas.

Sementara itu, Paul Yong menafikan dakwaan pemimpin tertinggi DAP Perak yang menuduh mereka sebagai katak dan pengkhianat yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang di Perak.

"Mereka sepatutnya mempunyai keupayaan fokus dalam perkara keutamaan iaitu khidmat, memberi khidmat kepada rakyat dan bukannya membuang masa mengerahkan cyber trooper untuk menyerang kami di mana kita dapat tahu semalam dan hari ini, beratus dan beribu cyber trooper tidak berhenti, setiap minit akan attack ('serang') Facebook kami," kata Paul Yong pula.

Menurutnya, beliau dan Sivasubramaniam keluar DAP bukan kerana parti tetapi disebabkan oleh sikap beberapa pemimpin parti itu yang disifatkan mereka seperti diktator.