“Kalau orang tak hendak, saya tak turun; kalau orang hendak, baru saya turun. Saya cuma pergi bantu calon berdasarkan pada kehendak orang tempatan."

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata demikian sambil menambah bahawa terpulang kepada orang lain untuk membuat penilaian akan sumbangannya itu kerana niatnya turun berkempen hanyalah untuk membantu calon Barisan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

“Takkan saya nak kata aura saya, terpulang kepada orang lainlah buat penilaian.

“Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) sebagai pengarah jentera pilihan raya yang tentukan sama ada saya patut turun atau tidak," katanya kepada pemberita selepas melakukan ‘walkabout’ di Pasar Tani Tapah, pada Ahad.

Keputusan PRK Cameron Highlands pada Sabtu menyaksikan calon BN, Ramli Mohd Noor menang dengan majoriti lebih besar iaitu 3,238 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran 8,800 undi; calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

Najib juga mendakwa kemenangan calon BN di Cameron Highlands adalah manifestasi rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan PH.

Ditanya sama ada beliau akan terus membantu kempen pada PRK Semenyih Mac ini, Najib berkata setiap kawasan mempunyai perbezaan.

“Jadi saya akan bincang dengan pemimpin tempatan, apa strategi kempen yang patut kita laksanakan ataupun lakukan,” ujarnya.