Tutup

Menikmati gelombang kemenangan BN di Tanjung Piai

Menikmati gelombang kemenangan BN di Tanjung Piai
Majoriti lebih 15,000 di Tanjung Piai ini adalah gelombang besar untuk menolak PH dan ia bakal menjadi tsunami atau bom jangka yang boleh meletup dan mengubah landskap politik negara dalam tempoh masa sebelum PRU15 nanti. - Astro AWANI/Shahir Omar
APABILA diundurkan putaran dunia 11 tahun lalu iaitu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, sejarahnya tertulis Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menawan kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 12,371 mengalahkan calon DAP yang juga pengerusi parti itu di Johor, Ahmad Ton.

Rentetan masa, populariti Jeck Seng semakin menurun pada PRU ke-13 apabila hanya menang dengan majoriti 5,457 dengan calon DAP iaitu Mahdzir Ibrahim.
Namun, perkataan majoriti itu sendiri seperti hilang dalam diri Jeck Seng apabila tewas dengan 524 undi pada PRU ke-14 kepada Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Tanjung Piai adalah ujian kepada keseluruhan masyarakat Cina negara ini untuk kembali menyokong Barisan Nasional (BN).
Walaupun ia masih awal namun tanda itu sudah ada. Anak-anak muda Cina sudah mula memberi sokongan kepada BN secara terbuka dan ia signal baik kepada gabungan itu untuk memperkemaskan ikatan MCA serta MIC pada PRU ke-15 kelak.

Kelihatan ada swing anak muda dan kemenangan Jeck Seng ini simbol kemesraan calon berbanding Karmaine Sardini yang ada kelemahan dari gaya sentuhan peribadi kepada pengundi.

Walaupun dari segi sumber, kita lihat ia terhad kepada BN namun pentas media sosial mengatasi masalah 'fulus' dengan penyampaian impak yang sangat besar namun kosnya rendah.

Mungkin pada PRU ke-15 nanti, isu kos tinggi bukan masalah berkempen kerana ia boleh diatasi dengan menumpukan perhatian lebih di alam maya.

Kemenangan ini dianggap sedikit luar biasa apabila melihat kumpulan pengundi semi urban dan urban yang bercampur dan kecewa apabila melihat reformasi yang dilakukan Pakatan Harapan pada PRU ke-14 lalu tidak sampai ke akar umbi.

Penyampaian rasa hati kumpulan pengundi semi urban dan urban ini juga satu manifestasi untuk BN dan PH sendiri membuat persediaan seandainya berlaku lagi PRK atau Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangka diadakan tahun hadapan.

Mesejnya semakin jelas, semua pihak yang mempunyai peluang seimbang 50 50 pada awalnya kini berubah dengan hasil yang dilahirkan dari Muafakat Nasional.

Kemasukan Pas dan strategi taktikal yang dibuat parti Islam itu membuahkan kesan serta mempengaruhi kaum Cina yang lapang dada melihat usaha penyatuan Melayu.




Tiada tentangan

Melayu kembali bersatu selepas tragedi berdarah negara pada 1969. Jika dilihat dari sudut positif, ia juga bibit awal kaum Cina kembali bersatu di bawah lembayung perpaduan kaum yang diasaskan sejak negara merdeka.

Situasi ini tidak jauh bezanya dengan sejarah di negara jiran kita sendiri. Gabungan Melayu yang kuat sebenarnya asas untuk kaum-kaum lain melihat kesepakatan dalam satu suara selain hormat menghormati sesama kita.

Tidak keterlaluan jika menjangkakan kekuatan Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuka tirai kemenangan untuk PH pada PRU ke-14 lalu menjadi penutup pintu gerbang Putrajaya kepada mereka pada PRU ke-15 nanti.

PH menang pada PRU ke-14 kerana Dr Mahathir dan tidak mustahil kalah semula PRU ke-15 kerana tokoh yang sama.

Kebetulan juga banyak kawasan Bersatu yang tidak ditumpukan PKR (mungkin kerana pelbagai masalah dalaman parti itu) menjadi pencetus kepada situasi panas isu peralihan kuasa perdana menteri yang akan menjadi hangat selepas ini.


Alih kuasa

Cerita peralihan kuasa perdana menteri akan menjadi lebih panas dan menarik selepas ini. Tuding menuding akan berlaku dalam kem PH dan menyalahkan apa sahaja yang boleh demi mempertahankan parti naungan masing-masing dalam kerajaan.

Tanda soal sama ada Dr Mahathir turun atau kekal di kedudukannya sehingga PRU ke-15 akan menjadi isu serta persoalan yang harus diperjelaskan kini.

Adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim akan lebih cepat menjadi perdana menteri kelapan atau Presiden PKR itu terpaksa menunggu lebih lama untuk duduk di kerusi idamannya yang diimpikan sejak sebelum 1998 lagi?

Ia bentuk cerita atau strategi yang sukar dibaca mana-mana pihak selain membaca andaian pengalisis politik atau cerita kedai kopi yang mempengaruhi sentimen keseluruhan rakyat sedikit demi sedikit pasca kekalahan PH di Tanjung Piai ini.


Kemampuan BN

Kemenangan di Tanjung Piai adalah yang kedua di dalam PRK di Johor selepas PRK Tenang pada 2011.

Kejayaan BN ini mungkin kerana pengundi sudah muak dengan pelbagai isu lapuk termasuk 1MDB yang dirasakan tidak perlu diulang tayang dalam setiap kempen memancing hati.

Apa yang diperlukan adalah jawapan kepada nasib serta kebajikan nelayan, pekebun-pekebun kecil, pemandu teksi dan peniaga kecil di sana.

Satu perkara yang perlu difikirkan sekarang, apakah tahap kemampuan BN untuk kembali menawan Johor dan seterusnya negara pada PRU ke-15 nanti.

Pemimpin tertinggi kerajaan hari ini perlu melihat gelombang yang dibawa BN ini sebagai satu ancaman untuk memastikan mereka tidak menjadi 'Kerajaan Sepenggal'.

Rakyat akan menentukan segalanya. Apabila rakyat senyap, ia bukan satu kebahagiaan namun permulaan memberi pengajaran kepada kelemahan kerajaan yang dikatakan lambat mengurangkan beban ditanggung sejak selepas PRU ke-14 lagi.

Terimalah hakikat, majoriti lebih 15,000 di Tanjung Piai ini adalah gelombang besar untuk menolak PH dan ia bakal menjadi tsunami atau bom jangka yang boleh meletup dan mengubah landskap politik negara dalam tempoh masa sebelum PRU ke-15 nanti.



* Wan Syamsul Amly ialah wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.


Tag: Anwar Ibrahim, Mahathir Mohamad, PAS, PKR, Barisan Nasional, DAP, MIC, MCA, Pakatan Harapan, 1MDB, PRU, Islam



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.