Kenyataan Tun Daim Zainuddin berhubung laporan terdapat menteri Kabinet yang angkuh dan sombong ada benarnya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menyifatkan komen bekas Menteri Kewangan itu sebagai tidak dangkal dan ada kebenarannya.

Jelasnya, meskipun tidak menyebut secara spesifik siapa individu yang didakwa, namun beliau percaya mustahil untuk beliau mengeluarkan kenyataan itu tanpa sumber yang sahih.

Beliau berkata telahan sama ada seorang menteri itu bersifat angkuh atau sebaliknya boleh dinilai oleh rakyat sendiri.

Ujarnya, sekiranya prestasi penilaian dibuat lebih menjurus kepada ketidakpuasan hati rakyat, pertukaran wajar dilaksanakan

Asalkan ia memberi kemajuan kepada negara sekali gus menonjolkan impak tadbir urus lebih mesra kepada rakyat.

"Rakyat ataupun terutamanya orang yang dalam bidang usahawan dan perniagaan boleh menilai sama ada seseorang menteri itu angkuh atau tidak.

"Kalau itu penilaiannya, kalau betul, perlu ditukar-tukarlah. Kalau itu boleh mmberi kemajuan pada negara kita... kalau ia beri satu pendekatan yang boleh menampakkan (negara) ditadbir urus lebih mesra kepada rakyat, maka itu terpulang kepada Perdana Menteri untuk menilai.

"Kalau Tun Daim kata begitu, mungkin ada kebenarannya, kerana dia tak boleh mengatakan siapa dan siapa.

"Mungkin ada kebenarannya. Kalau tidak, dia tak buat kenyataan begitu," ujar Mohd Redzuan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis Transformasi Keusahawanan Koperasi Sekolah Zon Selatan Tahun 2020 di sebuah hotel di Melaka, Isnin malam.

Terdahulu, bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu menegaskan menteri Kabinet perlu menunjukkan prestasi kerana beliau menerima laporan ada antara mereka bukan sahaja angkuh, malah enggan menerima pandangan orang ramai.

Malah, terdapat menteri yang tidak pernah menjawab surat dan mendakwa sangat sibuk sehingga menimbulkan rasa kurang senang rakyat.

Daim turut menyarankan kerajaan untuk meningkatkan usaha dalam perhubungan awam untuk memberikan penjelasan tentang reformasi yang telah dilaksanakan.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka ketika diminta mengulas spekulasi akan berlaku perubahan pucuk pimpinan di negeri itu berkata beliau tidak tahu-menahu.

Ujarnya, apa yang penting buat masa ini adalah memberi fokus kepada tanggungjawab melaksanakan mandat rakyat yang memilih selain menegaskan Pakatan Harapan (PH) akan terus kekal dan bukan Pakatan Nasional.