Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir memberi jaminan bahawa beliau akan terus memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Menurutnya, pencalonannya untuk bertanding di Parlimen Lumut di samping mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor bukan bermakna akan berlaku perlantikan Menteri Besar yang baharu.

Tegasnya, beliau masih berada di Perak untuk bersama-sama rakyat membangunkan negeri ini sepertimana yang telah dirancang.

"Mungkin ada yang beranggapan apabila saya dicalonkan untuk bertanding di Parlimen, maka lepas ini orang lain jadi Menteri Besar. Jangan bimbang, saya masih lagi bersama anda semua," katanya ketika berucap di hadapan kira kira 1,000 hadirin di Program Ramah Mesra Kepimpinan Komuniti Daerah Manjung di Dewan EMV, Seri Manjung pada Rabu.

Hadir sama, penyandang kerusi DUN Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim serta isteri Zambry, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Jelas Zambry, jika ditakdirkan beliau memenangi kerusi Parlimen Lumut dalam PRU14 nanti, kemenangan itu bukan bersifat peribadi tetapi sebagai penggerak untuk beliau memberi sumbangan di peringkat Pusat ketika Dewan Rakyat bersidang.

"Saya masih bersama tuan-tuan dan puan-puan...jika kemenangan berpihak kepada BN di Perak, maka kita akan teruskan perancangan dan dilaksanakan sebaiknya.

"Kalau ditakdirkan saya terpilih untuk mewakili di peringkat Parlimen, bermakna tugas saya di waktu itu ialah tanggungjawab yang bukan hanya tertumpu kepada satu tempat," katanya.

Beliau turut memberi jaminan akan terus melaksanakan tugas menjaga kepentingan pelbagai kaum dan semua lapisan masyarakat.