Mereka yang teruja dengan slogan “Bossku” adalah mereka yang terperangkap dalam mentaliti hamba, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian susulan slogan “Bossku” yang sinonim dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mula tular dan popular di kalangan anak muda.

Dr Mahathir menggesa orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan slogan tersebut tanpa memahami asal usul perkataan “bos”.

“Tahu tak perkataan boss ini datang dari USA (Amerika Syarikat), di mana orang kulit hitam panggil pemilik mereka sebagai boss.

“Jadi bila panggil bossku, itu maknanya kita jadi milik boss. Eh, kita dah merdekalah, takkan nak jadi hamba lagi?” katanya semasa Ceramah Perdana Pakatan Harapan di sini pada Khamis.

Tambahnya, Najib kini kelihatan seperti “tak malu” untuk muncul di khalayak ramai selepas didakwa di mahkamah untuk beberapa tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

“Dia betul-betul tak malu, tengok kelakuan dia, tak malu langsung.

“Saya mungkin salah kadang-kadang, tapi saya tak salah bila tolak Najib,” katanya.