Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berkata mesej berhubung etika berpakaian seperti ke pejabat ketika mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah palsu.

Dalam satu kenyataan, Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata dakwaan itu adalah tidak benar dan SPR tidak pernah dan tidak akan menghalang seseorang pengundi dari memasuki tempat mengundi asalkan ia tidak menyalahi Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Jelasnya, akta tersebut menetapkan bahawa seseorang pengundi adalah dilarang sama sekali memasuki tempat mengundi sekiranya mereka memakai apa-apa pakaian dan peralatan yang memaparkan nama calon, simbol atau lambang parti politik pada hari mengundi.

"SPR menasihati orang ramai agar berhati-hati dan menapis maklumat yang tidak sahih berkaitan pilihan raya yang tersebar melalui media sosial, katanya.

Orang ramai diminta merujuk terus kepada SPR bagi mendapatkan maklumat sahih dan tepat dengan menghubungi talian 03-88927018.