UMNO tidak pernah terlibat dalam penajaan atau sebarang perkara melibatkan Himpunan Rakyat Bersatu yang dijadualkan pada 16 September ini.

Bagaimanapun Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, ada beberapa pemimpin parti yang terlibat kerana menjadi wakil di dalam badan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan kesediaan untuk menyertai perhimpunan tersebut.

"UMNO tidak terlibat dalam perhimpunan itu tetapi ada pemimpin kita yang menjadi wakil NGO pada hari berkenaan.

"Kita mesti patuh kepada undang-undang negara dan arahan polis. Kita juga tidak akan membenarkan sebarang penganjuran perhimpunan yang merosakkan ketenteraman negara serta platform perkauman.

"UMNO sentiasa berdiri di atas tunjang dan kepercayaan kepada kepentingan hubungan kaum," katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Dato' Onn di sini hari ini.

Mesyuarat MT kali ini adalah yang pertama selepas Hari Raya Aidilfitri lepas susulan pembatalan mesyuarat asal yang dijadualkan pada 31 Julai lalu.

Pada Selasa Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, spekulasi pembatalan Himpunan Rakyat Bersatu yang membabitkan penyertaan sekurang-kurangnya 300,000 orang pada 16 September adalah tidak benar semata-mata.

Jelasnya, perhimpunan aman itu tetap akan diadakan walaupun pelbagai halangan termasuk tidak mendapat kebenaran polis.

Sebelum ini Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya menyokong Himpunan Rakyat Bersatu atas dasar hak demokratik rakyat untuk berhimpun secara aman yang sewajarnya diterima dan diraikan oleh semua termasuk pihak berkuasa.

Bagaimanapun jelasnya, parti itu tidak akan menyertai atau mengerah ahli serta penyokongnya untuk menyertai perhimpunan terbesar orang Melayu itu.