Menjelang mesyuarat pertama Perikatan Nasional (PN) esok, semua parti politik dalam dalam pakatan itu dilihat mampu mencapai konsensus berhubung sebarang isu yang diketengahkan tanpa mengetepikan mana-mana pihak.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, perkara itu dilihat berdasarkan keseimbangan, keunikan dan keistimewaan yang ada dalam PN.

Mesyuarat esok melibatkan semua parti politik dalam PN terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Bersatu, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dan Bebas dan diadakan bagi membincangkan beberapa isu tertentu khususnya melibatkan pakatan itu.

Beliau berkata, konsep bertolak ansur dan timbang tara antara parti politik turut menjadikan pakatan itu cukup kuat dan mampu mengekalkan kedudukan sekiranya pilihan raya umum (PRU) diadakan kelak.

"Saya melihat ketiga-tiga parti dalam PN mempunyai pertimbangan politik masing-masing dan sikap saling bergantung antara Ahli Parlimen menguatkan lagi kedudukan mereka.

"Ini berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang melihat ada unsur desakan dan tekanan antara parti dalam pakatan itu sehingga menyebabkan keruntuhan dalam PH.

"Sebagai contoh seperti yang didakwa wujud tekanan daripada DAP terhadap parti lain sehingga menyebabkan ada sebilangan Ahli Parlimen dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merasakan kerajaan dikuasai oleh DAP," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Isnin.

Sementara itu, ditanya mengenai adakah UMNO akan menjadi parti paling dominan memandangkan parti itu mempunyai Ahli Parlimen paling ramai, Mohammad Tawfik berkata, setiap parti mempunyai kelebihan tersendiri.

"Saya tidak nampak UMNO akan menjadi dominan dalam PN sebab mereka mempunyai hala tuju dan keperluan masing-masing dalam membentuk kerajaan.

"Ini kerana, tanpa parti lain seperti Pas, Bersatu dan kelompok Mohamed Azmin Ali, mereka tidak boleh membentuk Kerjaaan Persekutuan hari ini," jelasnya lagi.