Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

MIC mampu raih sokongan majoriti pengundi India

MIC mampu raih sokongan majoriti pengundi India
Inisiatif kemasyarakat yang diambil oleh Vignewaran telah menyentuh dan memuaskan hati sebahagian besar masyarakat India merentasi dan melangkaui fahaman politik. - BERNAMA
PILIHAN RAYA UMUM ke-15 (PRU15) diuar-uarkan akan diadakan secara tergempar pada bila-bila masa.

Parti-parti politik, termasuk Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dikatakan telah mengerakkan bilik gerakan dan jentera pilihan raya parti masing-masing termasuk MIC.

Pemimpin MIC sudah mula menjelajah ke negeri-negeri bukan sahaja meninjau persediaan parti itu di peringkat negeri malah merasai sendiri denyut nadi masyarakat khususnya pengundi India.

Presiden MIC juga sedang memberi perhatian kepada maklum balas masyarakat India terhadap penerimaaan orang ramai kepada parti itu terutamanya pemimpin-pemimpin yang bakal menjadi calon mereka pada PRU15.
Secara umumnya, Malaysian Indian Congress (MIC) adalah sebuah parti yang pernah disifatkan sebagai ‘hidup segan mati tidak mahu’ pada satu ketika dan satu-satunya parti yang semakin hilang taringnya dalam medan  politik Malaysia sejak PRU13.

Bagaimanapun, kini ia dilihat semakin stabil dan kuat selepas Tan Sri SA. Vigneswaran, dilantik sebagai Presiden MIC yang ke-10 pada 2018.
Meskipun MIC tidak terlepas daripada kekalutan termasuk kemelut kepimpinan yang hampir melumpuhkan parti - malah hampir 80 peratus pengundi India menolak MIC pada PRU14, MIC kini dilihat bangkit semula malah perpaduan dalam parti ditafsirkan berada pada tahap yang paling tinggi dalam sejarah parti itu.

Vigneswaran banyak menumpukan perhatian kepada isu menjaga kebajikan ahli-ahli parti selain membela  hak-hak politik mereka.

Perubahan paradigma dalam pendekatan mengurus parti oleh Vigneswaran bukan sahaja meraih sokongan hampir 400,000 ahli MIC, malah sambutan hebat daripada sebahagian besar masyarakat India.

Pada masa yang sama, kepimpinan beliau terus melestarikan institusi-intitusi yang dimilikinya seperti  Universiti Perubatan (AIMST), Kolej Teknikal (Tafe) dan Kolej Profesional Vanto Academy.

Ia menawarkan bukan sahaja memberi perkhidmatan kepada masyarakat India seperti peluang pendidikan malah bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar India yang kurang mampu untuk melanjutkan pendidikan tinggi dan vokasional.

Malah, MIC kepimpian Vignewaswaran juga tampil ke hadapan untuk membantu rakyat khususnya kaum India yang terkesan akibat pandemik COVID-19 melalui program Utavi.

Utavi merupakan inisiatif MIC yang dililhamkan oleh Vigneswaran bagi menyantuni keperluan masyarakat yang terkesan akibat COVID-19.

Malah, MIC merupakan satu-satunya  parti yang menonjol dalam melancarkan program dalam talian untuk mengesan kumpulan yang memerlukan bantuan  makanan bagi memudahkan penyediaan bahan-bahan makanan dengan segera kepada yang memerlukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Terus bantu

MIC masih terus menjalankan program bantuan makanan pasca PKP tanpa mengira kaum kepada warga B40 yang  memerlukan.

Selain itu, inisiatif kemasyarakat yang diambil oleh Vignewaran telah menyentuh dan memuaskan hati sebahagian besar masyarakat India merentasi dan melangkaui fahaman politik.

Antaranya, program khidmat nasihat guaman secara percuma kepada ahli-ahli MIC dan orang awam yang memerlukan bantuan nasihat guaman dan membantu menyediakan barisan peguam untuk membela 12 orang India yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012  (SOSMA) yang didakwa  mempunyai hubungan dengan pertubuhan Liberation Tigers Of Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka.

Selain itu, MIC turut membantu membawa pulang hampir 3,567 rakyat Malaysia yang terkandas di India, Nepal dan Bangladesh kerana penguatkusaan lockdown COVID-19 dengan kerjasama Wisma Putra dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M.Saravanan yang baru dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia dengan peruntukan besar dari MIC.

MIC juga melancarkan beberapa program lain seperti membantu mangsa banjir dan kebakaran, membantu warga  yang kehilangan pendapatan akibat malapetaka, sumbangan RM10,000 kepada keluarga ahli MIC yang meninggal dunia selain sumbangan membaik pulih rumah dan kuil.

Meskipun MIC tidak menyertai kerajaan pusat apabila Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada PRU14,  MIC terus melaksanakan program-program membantu masyarakat India dengan pelbagai  bantuan terutamanya pendidikan.

Vigneswaran sentiasa percaya bahawa pendidikan adalah kunci kepada pembangunan yang mampu memacu kedudukan sosio-ekonomi kaum India kepada tahap yang lebih baik.

Sebagai contoh, bagi tahun 2019, biasiswa berjumlah RM3.2 juta disediakan untuk 300 pelajar melanjutkan pendidikan mereka.

Biasiswa dan pinjaman pendidikan itu adalah untuk pelajar-pelajar daripada golongan B40 mengikuti pendidikan dalam bidang perubatan, pergigian, undang-undang, kejuruteraan, farmasi, perakaunan, pengajian perniagaan, aeronautik dan lain-lain.

Langkah-langkah yang diambil Vigneswaran menjadikan MIC kembali meraih sokongan kaum India malah menjadikan parti itu kuat dan stabil kini berbanding parti politik lain.




Aset kemenangan

Dengan latar belakang politik dan sentimen masyarakat India itu, maka pandangan setengah pihak yang mendakwa MIC adalah liabiliti kepada kejayaan BN sekali gus Muafakat Nasional (MN) pada PRU15 adalah tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya, MIC dilihat sebagai aset kepada kemenangan BN dan MN kerana parti itu dapat membekalkan undi ‘pelengkap’ kepada kemenangan gabungan MN yang dijangka bertanding hebat dengan PH untuk meraih sokongan undi Melayu pada PRU15.

Namun, MIC digesa keluar daripada kotak pemikiran lama atau tradisi  dalam proses menghadapai PRU15 terutamanya dalam proses memilih bakal calon untuk bertanding mewakili MIC/BN pada PRU15.

Calon yang mewakili MIC hendaklah dipilih bukan semata-mata berasaskan faktor jawatan dalam parti seperti tradisi lama, tetapi lebih kepada faktor  penerimaan sebahagian besar pengundi atau populariti dalam kalangan pengundi setempat terutamanya pengundi India.

Dalam menghadapi PRU15, pemimpin-pemimpin MIC diminta mendedahkan diri dengan ilmu politik era 3.0 atau ilmu pasaran politik baharu dan strategi  kempen pilihan raya terbaharu yang terbukti menjamin kemenangan agar mereka dapat memainkan peranan  dengan berkesan dalam usaha memenangi hati dan jiwa pengundi India kembali ke pangkuan BN/MN.

Apapun, tinjauan politik penulis setakat ini mendapati peluang MIC memenangi empat daripada sembilan kerusi Parlimen dan lapan daripada 18 kerusi DUN tradisi adalah cerah pada PRU15.

Antaranya, kerusi Parlimen Sungai Siput, Tapah, Hulu Selangor dan Segamat dan kerusi DUN Gambir, Tenggaroh, Kahang, Gadek, Jeram Padang, Sabai, Ijok dan Bukit Selambau.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.


Tag: MIC, Barisan Nasional, PRU13, pelajar, calon, PKP



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.