MIC masih belum dapat membela sepenuhnya nasib masyarakat India di negara ini terutama golongan belia, ujar Pakar Rujuk Dasar Belia Malaysia, Prof Dr Sarjit Singh Gill.

Jelasnya, masyarakat India memerlukan pemimpin dinamik yang mampu menyelesaikan masalah terutama di peringkat akar umbi.

"Pada pandangan saya, MIC perlu lebih turun ke bawah mengunjungi golongan belia dan mendapatkan reaksi komuniti belia India supaya mereka boleh menzahirkan masalah-masalah yang belum selesai," katanya kepada pemberita selepas menjadi panelis Sesi Meja Bulat bertajuk "Memahami Masalah Belia Bukan Melayu di Malaysia" di Fakulti Ekologi Manusia di Universiti Putra Malaysia di sini, hari ini.

Tambahnya, golongan belia India perlu didekati dengan memberikan ruang dan peluang kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama membantu mereka.

"Walaupun kerajaan telah tubuhkan empat unit di bawah Jabatan Perdana Menteri, tetapi saya fikir perkara ini perlu dimaklumkan kepada masyarakat dan supaya belia-belia ini boleh mendekati keempat-empat agensi itu bila-bila masa kerana kebanyakan NGO belia India ini masih belum diberi sokongan yang padu oleh semua pihak.

"Dengan adanya lebih banyak geran dana daripada kerajaan khususnya dua agensi utama, maka ia boleh diberikan kepada NGO India itu," kata beliau.

Bagaimanapun katanya, kebajikan belia kaum India di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lebih terbela berbanding semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Memang jauh berbeza dari segi kepimpinan Datuk Seri Najib yang memberikan bantuan dan komitmen terhadap masyarakat India berbanding kepimpinan zaman Tun Dr Mahathir kerana ketika itu Tun Mahathir menyalurkan dana kepada MIC. Namun yang ini kepada agensi di JPM," tambahnya.

Pendekatan Perdana Menteri itu juga disifatkan berkesan dalam menyalurkan dana kepada masyarakat India.

"Namun, yang paling penting dana itu ditambahkan. Jadi saya rasa kepimpinan Perdana Menteri sangat komited untuk membantu masyarakat India dan minoriti yang lain," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan Kementerian Hal Ehwal Minoriti ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah melibatkan masyarakat minoriti termasuk Orang Asli, Sabah dan Sarawak.

"Langkah ini penting bagi menyusun dan merencanakan satu sistem yang lebih berstruktur melibatkan masyarakat berkenaan," ujarnya.