REALITI politik dalam mana-mana negara berdemokrasi adalah untuk memenangi pilihan raya.

Oleh yang demikian, persepsi rakyat terhadap suasana sosio-politik-ekonomi semasa negara akan menentukan peluang kemenangan sesebuah parti politik dalam pilihan raya itu sendiri.

Memandangkan persepsi rakyat pelbagai kaum terhadap parti memerintah, Pakatan Rakyat (PH) di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak kekal seperti mula-mula PH memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, malah semakin berubah daripada positif kepada negatif, maka kemampuan kerajaan PH untuk terus mempertahankan Putrajaya akan menjadi tanda tanya.

Rakyat saban hari dihidangkan dengan maklumat kononnya sengketa politik kepimpinan parti PKR (Anwar-Azmin) sudah sampai di kemuncak.

Ramai ahli Bersatu pula dilaporkan keluar parti manakala sebahagian ahli DAP semakin berani menegur dan mengkritik kepimpinan utama parti mereka sendiri.

Malah, ada juga dari pihak barisan hadapan kepimpinan PH mengaku bahawa mereka akan menghadapi kesulitan untuk mengekalkan Putrajaya pada PRU ke-15.

Dalam pada itu, laporan Kajian Kadar Kebimbangan Rakyat (National Worry Index Survey - NWI) yang julung kali dijalankan oleh Emir Research baru-baru ini menunjukkan bahawa rakyat umumnya tidak pasti sama ada hala tuju masa depan negara berada pada landasan yang betul.

Kajian Emir Research yang berpusat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melaporkan hampir 50 peratus penduduk tidak pasti sama ada hala tuju masa depan negara berada pada landasan yang betul.

Selain itu, sebanyak 24 peratus rakyat Malaysia pula berasa masa depan Malaysia menuju ke arah yang tidak betul.

Selain itu, kajian tersebut juga menunjukkan bahawa isu utama yang dihadapi rakyat adalah kos peningkatan sara hidup. Hampir 86 peratus bimbang terhadap kenaikan harga barang keperluan asas, termasuk harga rumah sementara 77 peratus bimbang terhadap kekuarangan peluang pekerjaan.

Manakala, hampir 75 peratus merasa cukai SST yang diperkenalkan oleh kerajaan PH menggantikan GST tidak membantu mengurangkan kos sara hidup.

Malah, 46 peratus rakyat tidak pasti PH mampu mengurus ekonomi negara dengan cekap.


Pola pengundian

Sehubungan itu, Dr Mahathir mendakwa kejatuhan nilai Ringgit Malaysia berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) adalah antara punca utama yang isu kenaikan sara hidup.

Nilai ringgit jatuh daripada RM3.80 bagi AS$1 pada zaman kerajaan BN jatuh kepada RM4.20 bagi AS$1 pada masa sekarang.

Senario politik yang tidak stabil dan prestasi ekonomi negara yang semakin merudum menggambarkan kerajaan PH akan menghadapi cabaran besar untuk mempertahankan Putrajaya pada PRU ke-15.

Persoalanya apakah parti pembangkang yang bersatu di bawah gagasan Muafakat Nasional yang diterajui oleh UMNO-Pas akan mendapat sokongan majoriti rakyat untuk menjatuhkan PH pada PRU ke-15?

Apakah Muafakat Nasional yang disertai parti-parti pembangkang semasa seperti UMNO, MIC, MCA dan Pas akan menggunakan sentimen kebimbangan dan keresahan sebahagian besar rakyat untuk menawan Putrajaya pada PRU ke-15?

Kajian terperinci terhadap pola pengundian pada PRU ke-14 menunjukkan peralihan sokongan antara lima sehingga 20 peratus pengundi India dan Melayu, daripada BN kepada PH menyebabkan kemenangan besar PH pada PRU ke-14.

Sambil BN mempertahankan sebahagian besar kerusi yang terletak di kawasan majoriti Melayu, Pas memenangi sebahagian besar kerusi di Pantai Timur manakala PH pula memenangi hampir semua kerusi yang terletak di kawasan bandar, semi-urban dan kerusi bercampuran.

Namun, pola pemikiran pengundi India dan Melayu berubah sejak PRU ke-14. Sebahagian besar pengundi India semakin mendekati MIC di bawah kepimpinan Tan Sri S A Vigneswaran, manakala pengundi Melayu yang mengalih sokongan daripada BN kepada PH pada PRU ke-14 kini kembali menyokong BN akibat suntikan semangat Kemuafakatan Nasional yang diasaskan oleh dua parti politik Melayu-Islam yang terbesar, iaitu UMNO dan Pas.

Sebahagian pengundi Cina pula kini kelihatan beransur-ansur kembali menyokong BN kerana mereka kecewa dengan PH yang gagal menunaikan janji-janjinya kepada rakyat seperti tercatit dalam Manifesto PH pada PRU ke-14.

Dalam pada itu, MIC yang satu ketika dahulu didakwa seolah-olah 'hidup segan mati tidak mahu’ kini menjelma sebagai sebuah parti politik yang terkuat dan stabil dalam medan politik negara berbanding parti politik lain, termasuk parti komponan BN, malahan parti yang menyertai gagasan PH.

MIC yang kini terdiri daripada keahlian hampir setengah juta, menyertai gagasan Muafakat Nasional yang turut disertai UMNO yang terdiri daripada lebih empat juta ahli dan Pas yang dianggotai hampir satu juta ahli.

UMNO dan Pas sedia maklum mempunyai pengalaman menang besar dalam PRU malah mentadbir kerajaan Persekutuan dan negeri dengan jayanya pada masa-masa lampau.

UMNO yang menerajui BN menang berturut-turut dan mentadbir kerajaan Persekutuan mulai PRU pertama sehingga PRU ke-13.

Pas pula merupakan sebuah parti politik yang ditubuhkan pada tahun 1951 berpengalaman mentadbir beberapa negeri sejak menyertai politik nasional.

Pas membentuk kerajaan negeri Kelantan (1959 - 1977, 1990 - 2018) dan Terengganu (1959 - 1962, 1999 - 2004). Pas juga berjaya menghalang PH menembusi Kelantan dan Terengganu pada PRU ke-14 apabila lain-lain negeri di Semenanjung kecuali Pahang dan Perlis jatuh ke tangan PH.

Apapun, keputusan MIC menyertai Muafakat Nasional adalah satu tindakan bijak dan strategik malah berpandangan jauh sekali gus membantu MIC dalam usaha bukan sahaja melakar semula politik negara, malah mengembalikan kegemilangan parti MIC sekali gus BN di pentas politik negara.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.