MIC Sabah berhasrat bertanding satu kerusi sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berharap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, dapat mempertimbangkan permintaan itu.

"Datuk V. Jothi (pengerusi MIC Sabah) ada minta agar MIC Sabah mainkan peranan yang lebih di Sabah.

"Kami berharap ketua menteri Sabah boleh beri perhatian sewajarnya supaya masyarakat India yang ada di sini diberi peluang memainkan peranan dalam politik di Sabah dengan lebih bermakna," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen MIC Sabah Ke-18, di sini hari ini.

Katanya selain membantu masyarakat India dari segi memenuhi harapan dan hasrat mereka di negeri ini, MIC juga boleh menyumbang kepada pembangunan Sabah pada keseluruhannya.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam, yang juga menteri kesihatan, berkata dalam tempoh beberapa hari lepas tidak ada kes baharu Zika dikesan di negara ini.

Mengulas kes pertama di Sabah membabitkan seorang lelaki berusia 61 tahun di Likas pada akhir bulan lepas, beliau berkata siasatan mendapati lelaki itu telah melawat anaknya di Skudai, Johor sebelum disahkan dijangkiti virus itu.

"Bagaimanapun, kita tidak dapat tentukan sama ada mangsa mendapat Zika melalui jangkitan di Johor atau di Sabah.

"Kita sedia maklum virus ini bukan baharu dan kita pernah ada kes pada 1953 dan 1976 (di negara ini)," jelasnya. -- BERNAMA