MIC menyasarkan pertambahan kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti kaum India untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran, sasaran itu akan memfokuskan kerusi-kerusi baharu termasuk yang ditandingi Parti Gerakan sebelum ini.

Menurutnya, perkara itu telah pun dimaklumkan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang.

“Secara dasarnya saya sudah pun memberitahu Presiden UMNO selaku Pengerusi BN bahawa kemungkinan besar MIC akan meminta tempat baharu yang boleh dimenangi.

“Sebagai permulaan, kita akan melantik seorang penyelaras parti di satu-satu kawasan yang berpotensi untuk ditandingi itu agar dapat membina hubungan lebih awal dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sambutan rumah terbuka Deepavali dan Krismas peringkat Parlimen Teluk Intan pada Ahad.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan dan Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah.

Dalam majlis itu, Vigneswaran turut mengumumkan pelantikan Murugiah sebagai Penyelaras Parlimen Teluk Intan yang sebelum ini diwakili calon Gerakan.

Katanya, memandangkan Gerakan sudah tiada dalam BN, adalah satu keperluan untuk melantik penyelaras bagi menjalankan tugas-tugas di peringkat Parlimen.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu mengakui, Muafakat Nasional memainkan peranan penting untuk mengembalikan sokongan rakyat terutama kalangan pengundi muda.

Ujarnya lagi, ini masa terbaik untuk BN dan Pas sebagai gabungan pembangkang yang kuat, dan peluang kedua untuk mengambil semula keyakinan rakyat.