Majlis pelantikan Menteri Besar Perlis gempar dengan misteri 'kehilangan' sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Mana tidaknya, Datuk Azlan Man, ADUN Barisan Nasional menjadi satu-satunya wakil parti di Istana Arau yang mengangkat sumpah.

Namun tepat pada jam 2 petang, misteri 'kehilangan' semua ADUN BN Perlis terjawab selepas mereka dikenal pasti berada di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur bersama Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk satu mesyuarat khas di Menara Dato Onn.

SHAHIDAN: Rakyat Perlis kena aniaya! - Foto Astro AWANI / Hilal Azmi

Rupa-rupanya, tindakan mereka tidak hadir ke majlis angkat sumpah itu adalah kerana tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis dan ia diakui sendiri oleh Shahidan selaku Pengerusi BN negeri.

"Rakyat Perlis sengsara dibuat macam ini.

"Kita teruk berjuang bermati-matian dalam pilihan raya, tiba-tiba dengan mudah buat perubahan. Ini tak adil!" katanya dalam sidang media di tingkat 38 Menara Dato Onn, pada Khamis.

Beliau mendakwa pemilihan Menteri Besar Perlis tidak selari dengan perlembagaan terutamanya membabitkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.

Beliau yang baru sahaja keluar dari menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur merayu supaya Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalulail untuk menghormati perlembagaan malah tidak perlu untuk campur tangan dalam soal pentadbiran.

"Jangan takut kalau negeri Perlis tak ada bajet dan sebagainya kerana itu urusan Menteri Besar.

"Kita memohon supaya Tun Dr Mahathir untuk campur tangan teliti semula kuasa melantik Menteri Besar kepada Yang Dipertuan Agong," jelasnya.

"Disebabkan Datuk Seri Azlan Man bersetuju mengambil tanggungjawab sebagai Menteri Besar tanpa sokongan ahli parti, maka BN Perlis dan UMNO Perlis mencadangkan pemecatan beliau serta-merta.

"Kita dah maklum kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, jika ikut pekeliling yang dihantar, kita boleh memecat seseorang yang pergi berunding dengan pihak lain tanpa kebenaran kita.

"Maka jadilah dia Menteri Besar tanpa parti," katanya lagi.