Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Hilman Idham hari ini menegaskan, Mizan Adli Mohd Nor kekal sah sebagai Pengerusi Tetap sayap pemuda PKR itu.

Katanya, penyingkiran Mizan Adli seperti yang dinyatakan melalui satu surat bertarikh 27 Nov, jelas melanggar peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan PKR dan Peraturan Tetap AMK Malaysia.

Justeru, Muhammad Hilman menggesa kepimpinan parti segera bertindak untuk menarik semula surat perlucutan tersebut yang ditandatangani Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razak.

Katanya, Perlembagaan PKR dan Peraturan Tetap tidak memberikan sebarang kuasa kepada Majlis Pimpinan Pusat AMK untuk melucutkan kuasa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap.

"Ini kerana, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap merupakan sebahagian daripada Kongres Nasional yang merupakan kuasa tertinggi parti, sebagai mana yang termaktub dalam Perkara 10.3.1 Peraturan Tetap AMK dan Fasal 17 Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat," tambahnya.

BACA: Isu AMK: Mizan dan Ramly disingkir kerana lebih umur - Akmal

Beliau juga menyifatkan surat Ahmad Syukri sebagai "dangkal dan akal senteng" kerana didakwa cuba memesongkan fakta bagi merasionalkan perlucutan jawatan tersebut.

"Surat itu hanya menyatakan Perkara 5.1 & 5.3 Peraturan Tetap dan menyembunyikan Perkara 5.2 dalam Peraturan Tetap.

"Ini kerana, Perkara 5.2 memperuntukkan 'Semua pemegang jawatan dalam AMK adalah kekal sebagai anggota AMK walaupun telah melebihi had umur sehingga tamat tempoh khidmat atau sehingga digantikan oleh pemegang jawatan yang baru'," katanya.

Tambah Muhammad Hilman, fakta yang dinyatakan dalam surat tersebut bahawa jumlah perwakilan yang layak mengundi dalam Kongres Nasional 2018 hanya berjumlah 270 orang memperlihatkan betapa kepimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) AMK lemah dan tidak tersusun.

Ini kerana, katanya, Perkara 10.3.3 Peraturan Tetap telah memperuntukkan tujuh orang perwakilan AMK untuk setiap Cabang.

"Sekiranya hanya 270 perwakilan yang boleh memilih, ini bermakna Kongres hanya dihadiri kurang 39 Cabang daripada lebih 178 Cabang seluruh negara.

"Apatah lagi, semua keputusan pemilihan yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) telah disahkan dalam Kongres Nasional 2018."

Wibawa dan integriti JPP harus dipertahankan, tegas Muhammad Hilman.