Mohd Puad kecewa dengan Ahmad Zahid

Mohd Puad kecewa dengan Ahmad Zahid
Mohd Puad melontarkan pertanyaan kepada Ahmad Zahid apakah dengan meletakkan seorang calon kontroversi yang dikaitkan dengan isu moral peribadi boleh menjamin kemenangan. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menzahirkan rasa dukacita berhubung komen Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai situasi terkini di Parlimen beliau.

Jelasnya, kenyataan Ahmad Zahid bahawa Parlimen Batu Pahat adalah semakin parah dari segi kerosakan dan hakisan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) seperti menidakkan kejayaan UMNO Batu Pahat.

“UMNO di sini menambah keahlian baru dan antara Bahagian yang tertinggi menambah jumlah pemilih baru di Johor,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan menasihati Mohd Puad agar menerima hakikat bahawa kawasan itu (Batu Pahat) berada dalam keadaan agak parah dari segi kerosakan dan hakisan sokongan kepada BN.

Beliau berkata, dengan meletakkan calon lain untuk bertanding di kawasan Parlimen itu, BN berharap mereka akan dapat merampas semula kawasan berkenaan daripada tangan PKR.

 
Ahmad Zahid berkata demikian semasa diminta mengulas spekulasi mengenai kemungkinan Mohd Puad akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRU14 ini selepas namanya tidak tersenarai sebagai calon BN yang akan bertanding di Johor.
BACA: Mohd Puad Zarkashi harus terima hakikat - TPM Zahid 

Justeru katanya, beliau mempertikaikan kredibiliti metodologi penilaian yang Ahmad Zahid gunakan.

“Sedangkan khidmat wakil rakyat PKR yang teruk menjadikan BN semakin popular,” katanya.

Oleh itu, beliau melontarkan pertanyaan kepada Ahmad Zahid apakah dengan meletakkan seorang calon kontroversi yang dikaitkan dengan isu moral peribadi boleh menjamin kemenangan.

“Dan apakah dengan meletakkan seorang lagi calon yang selama lima tahun tidak membantu Bahagian dalam menjaga parti, memulaukan Persidangan Perwakilan Tahunan Bahagian selama lima tahun berturut-turut dan lain lain adalah wajar?,” katanya.

BACA: Isu Mohd Puad perlu diselesaikan segera - SU BN Johor

BACA: 'Meskipun tidak dicalonkan saya tetap tabah...'

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, kenyataan ini sama sekali tidak menunjukkan bahawa beliau merajuk terhadap parti.

“Di mana hebatnya kaedah penilaian beliau? Ini bukan soal merajuk. Ini soal kenapa dibiarkan satu kaedah yang boleh menjadi presiden buruk di masa hadapan digunakan?

"Jangan jadikan pemilihan calon pilihanraya sebagai agenda persiapan untuk menghadapi pemilihan parti. Buruk padahnya,” katanya.

Pada PRU12 lalu, Mohd Puad menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat selepas menewaskan calon Pas, Muhammad Abdullah dengan majoriti sebanyak 12,968 undi.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahinya pada PRU13 apabila gagal mempertahankan kerusi itu selepas tewas dengan calon PKR, Datuk Mohd Idris Jusi.

Mohd Puad juga sebelum ini pernah dilantik sebagai senator dan diberi peranan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.