Tutup

Muafakat Nasional bukan alasan UMNO henti perkasakan parti sendiri

Muafakat Nasional bukan alasan UMNO henti perkasakan parti sendiri
MOHAMAD: Kalau PRU15 ini kita tak menang, baik kita semua berhenti daripada jadi pejuang bangsa kerana itulah titik tolak kita untuk bangun semula. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional bukan alasan ahli UMNO berhenti memperkasakan parti sendiri dan menyusun strategi untuk merampas kembali kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menyeru agar jangan ditelanjangkan semua gerak kerja dan rahsia UMNO dan berkongsi strategi kepada orang yang tidak sepatutnya.
“Rahsia tetap rahsia. Kita jangan dedah sangat apa kita nak buat. Jodoh, ajal dan pertemun di tangan Allah SWT, masa kita berkasih sayang itu betul, tapi jangan bagi sangat strategi kita pada orang yang tak patut ada strategi. Kita perkasakan khas untuk kita.

“Muafakat ini seolah-olah satu jaminan untuk kita membawa PRU15, tetapi kita jauh lagi. Kalau PRU15 ini kita tak menang, baik kita semua berhenti daripada jadi pejuang bangsa kerana itulah titik tolak kita untuk bangun semula
“Jadi saya harap bawa balik semangat ini, jangan ditinggalkan di perhimpunan ini. Parti kita mengharapkan kita untuk membela semula parti kita.

“Saya harap bawa balik semangat ini jangan habis di sini. Berunding elok-elok, muafakat punca selamat sengketa punca celaka,” katanya ketika berucap pada ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra, pada Sabtu.

Menurut Mohamad, UMNO kalah kerana terlalu banyak persengketaan antara satu sama lain dan beliau mahu sikap buruk itu dibuang bagi memberi laluan kepada Muafakat Nasional menubuhkan kerajaan.

Jelas Mohamad, ahli UMNO perlu merebut peluang yang ada dan jangan terlalu bergantung kepada kelemahan Pakatan Harapan.

“Kita kena kuatkan benteng..ini yang penting. Kalau kita kuat, tiada siapa akan berani dengan kita, jangan jadi bangsa minta sedekah.

“Kita perlu perbaiki sikap untuk perjuangan orang Melayu dan tidak akan ada noktah untuk itu. Dengan sikap yang baik dan semangat yang tinggi, saya yakin kita akan dapat tewaskan Pakatan Harapan dengan strategi dan gerak kerja kita.

“Terpulang kepada kita untuk meneliti keadaan kita sendiri. Ubah mana yang tidak disukai orang dan kemudian orang boleh suka kita semula.

“Teruskan perjuangan yang belum ada kesudahan, saya yakin dengan pembetulan dan penambahbaikan, semangat kita untuk melihat parti kita menang PRU15 dengan mengambil beberapa perubahan yang amat diperlukan,” jelasnya.

PAU 2019 bersidang selama empat hari bermula Rabu lalu dengan melibatkan seramai 5,603 perwakilan.


Tag: Mohamad Hasan, UMNO, Pakatan Harapan, pilihan raya, perhimpunan, presiden, Perhimpunan Agung UMNO, Muafakat Nasional, PAU2019, PRU15, Pilihan Raya Umum ke-15, orang Melayu



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.