Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini membuat keputusan sebulat suara untuk memecat Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedua-dua pemimpin UMNO itu telah berada sepentas bersama pemimpin pembangkang dan menyerang kepimpinan parti.

"Majlis Tertinggi UMNO hari ini mengambil keputusan secara sebulat suara untuk memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir atas pelanggaran disiplin.

"Lebih-lebih lagi bila mereka telah berada di atas pentas bersama-sama dengan pemimpin pembangkang, membuat ucapan-ucapan bersama dengan mereka dan menyerang pimpinan dan parti. Maka itu adalah kesalahan besar dari segi disiplin parti.

"Oleh itu, berdasarkan kepada pelakuan tersebut. Maka Majlis Tertinggi secara sebulat suara mengambil keputusan untuk memecat kedua-dua pemimpin tersebut," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Mengulas berkenaan nasib Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Shafie Apdal, Najib berkata Jawatankuasa Disiplin UMNO masih lagi belum menyerahkan laporan kepada Jawatankuasa Pengurusan dan Majlis Tertinggi untuk membuat ketetapan.

"Untuk Datuk Seri Shafie Apdal, Majlis Tertinggi mengambil keputusan untuk menggantung keahlian beliau sehingga laporan diterima daripada Jawatankuasa Disiplin.

"Ini kerana Jawatankuasa Disiplin belum lagi menyerah laporan kepada Jawatankuasa Pengurusan dan juga Majlis Tertinggi," katanya.

Muhyiddin dan Mukhriz merupakan antara 18 individu yang berucap dalam majlis 'Deklarasi Mahathir' yang dianjurkan oleh kumpulan yang menuntut Najib meletakkan jawatan.

Sementara kedudukan Shafie yang juga naib presiden UMNO, dipersoalkan gara-gara kritikannya terhadap pentadbiran parti berkenaan serta beberapa isu lain.