Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berpendirian Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sewajarnya dipecat dari parti.

"Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir patut dipecat daripada parti," kata Tengku Adnan ketika bertemu media di lobi Parlimen hari ini.

Namun, beliau mahu isu penentangan Muhyiddin dan Mukhriz terhadap kepimpinan parti itu dibawa ke Majlis Tertinggi (MT) UMNO terlebih dahulu untuk dibincangkan sebelum kedudukan dua individu tersebut diputuskan.

“Pada saya, saya sudah singkirkan mereka sejak dahulu lagi.

“Kita sudah lakukan laporan mengenai Mukhriz dan Muhyiddin, dan kita akan bentangkan di Majlis Tertinggi untuk putuskan kerana Jawatankuasa Disiplin telah menghantar semula keputusan untuk Majlis Tertinggi tentukan.

“Kertas siasatan telah diberikan kepada kita (Majlis Tertinggi) dan biarlah mereka yang tentukan,” katanya lagi.

Tambah Menteri Wilayah Persekutuan itu, satu mesyuarat khas akan diadakan pada minggu ini selain mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi UMNO yang turut dijadual berlangsung hujung bulan ini.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, kedudukan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal di dalam UMNO masih boleh diselamatkan, memandangkan beliau tidak terlalu menyerlah bersama pembangkang.

“Dia tidak terlalu menyerlah, sepentas bersama pembangkang. Terdapat beberapa masalah tetapi masih ada kelonggaran yang kita masih boleh pertimbangkan.

“Tetapi dua orang ini (Mukhriz dan Muhyiddin) sudah bersama pembangkang, jadi itu kita tidak boleh terima,” ujarnya lagi.

Muhyiddin digugurkan daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015, disusuli kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO turut digantung mulai 26 Februari lalu sehingga pemilihan parti akan datang.

Mukhriz pula melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah pada 3 Februari lalu dan diganti dengan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.