Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengemukakan cadangan supaya satu debat terbuka diadakan di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak bagi membahaskan isu negara.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan itu berkata, ini susulan kritikan terbuka Perdana Menteri terhadap Dr Mahathir yang mengatakan bekas perdana menteri itu kini tidak relevan memandangkan usianya sudah mencecah 92 tahun.

Najib juga baru-baru ini, menyelar keputusan Pakatan yang menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya gabungan parti itu menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Bekas timbalan perdana menteri itu turut menyifatkan tindakan Najib membandingkan penolakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dengan keadaan di Zimbabwe sebagai 'tidak masuk akal'.

"Dr Mahathir berusia 92 tahun. Bagi banyak orang, dia sepatutnya sudah bersara. Kenapa dia hendak berjuang kalau tidak kerana masalah negara?

"Bagi saya, dia banyak pengalaman, akal fikiran masih waras, badan masih sihat. Saya kira, Najib menyebut demikian kerana terlalu takut kepada Dr Mahathir. Dia gerun dengan faktor Dr Mahathir, sebab itu bila kita calonkan Dr Mahathir, dia (Najib) dukacita.

"Kalau boleh adakan debat antara Dr Mahathir dengan Najib, tengok (sama ada) dia berani atau tidak. Bahas apa-apa isu dan sebagainya. Kalau dia berani sahut cabaran itu, saya tunggu esok," katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata demikian pada satu sidang media sempena perjumpaan khas bersama pemimpin-pemimpin Pakatan di Sabah, di sini, hari ini.

Sementara itu, pada sidang media sama, beliau mendedahkan Pakatan kini dalam proses menentukan calon yang bakal bertanding dalam PRU14 di Sabah.

"Sampai masa kita akan senaraikan dan kita akan meminta setiap parti menyenaraikan calon masing-masing mengikut kawasan kerusi yang akan diputuskan untuk dipertandingkan dalam PRU.

"Dan, di semua peringkat, pimpinan parti di seluruh negara sudah mengenalpasti bakal-bakal calon atau tokoh yang sesuai.

"Sebab itu kita mahu pembahagian kerusi antara parti komponen dalam Pakatan dibereskan sebaik mungkin mengikut keputusan Majlis Presiden pusat, iaitu sebelum akhir bulan ini," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya sudi berganding dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Muhyiddin berkata, tiada sebarang perbincangan diadakan setakat ini.

Namun, beliau menjelaskan, pihaknya bersedia menjalinkan kerjasama dengan semua parti yang mempunyai agenda menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.