Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dalam Kabinet kerajaan Pakatan Harapan pada Sabtu, merupakan seorang pemimpin yang amat berpengalaman.

Muhyiddin, 70, yang menerajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai presiden, pernah menjadi pemimpin kedua tertinggi dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tewas teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Rabu lepas.

Selain menjadi timbalan perdana menteri sebelum disingkirkan daripada kabinet BN yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2015, beliau pernah menyandang jawatan menteri besar Johor dan menjadi menteri belia dan sukan.

Muhyiddin juga pernah menjadi menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau memulakan karier politiknya sebagai Bendahari UMNO Bahagian Muar-Pagoh pada 1970 dan memegang beberapa jawatan penting sehingga menjadi Anggota Majlis Tertinggi UMNO untuk penggal 1987-1990.

Selepas itu, Muhyiddin menjadi Naib Presiden selama tiga penggal dan kemudiannya Timbalan Presiden pada 2009 sebelum dipecat daripada UMNO pada 2016 kerana menyokong pembangkang.

Beliau bertanding sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum 1978 dan menjadi wakil rakyat kawasan itu selama dua penggal.

Beliau menang tanpa bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang pada PRU 1986 dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Besar Johor dan memegang jawatan itu selama sembilan tahun.

Kemudian, beliau kembali bertanding kerusi Parlimen Pagoh pada 1995 dan mengekalkan kerusi itu hingga sekarang.

Bertanding atas tiket Pakatan Harapan pada PRU14, Muhyiddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Johor dapat mengekalkan kemenangan di Parlimen Pagoh dengan majoriti 6.927 undi dalam pertandingan tiga penjuru dengan menewaskan Ismail Mohamed daripada BN dan Ahmad Nawfal Mahfodz daripada PAS.

Selain itu, Muhyiddin turut memenangi kerusi DUN Gambir dengan majoriti 3,088 undi untuk menewaskan M. Asojan daripada BN dan Mahfodz Mohamed dari PAS.

Dilahirkan pada 15 Mei 1947, Muhyiddin yang merupakan anak jati Muar, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar Maharani, Muar dan di Sekolah Tinggi Muar sebelum memasuki Universiti Malaya pada 1968 hingga 1970 dengan memperoleh Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi dan Pengajian Melayu.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Noorainee Abdul Rahman pada 1972 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Muhyiddin pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir (Penolong Setiausaha) Pejabat Setiausaha Negeri Johor pada 1970 serta Penolong Pegawai Daerah Muar pada 1971 hingga 1974.

-- BERNAMA