Mujahid ingatkan Asyraf Wajdi berhenti buat tuduhan liar

Mujahid ingatkan Asyraf Wajdi berhenti buat tuduhan liar
Mujahid menyifatkan tuduhan Asyraf Wajdi terhadap dirinya adalah berniat jahat. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini mengingatkan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya berpolitik secara berhemah dan berhenti membuat tuduhan liar atau fitnah yang tidak berfakta.

Mujahid menyifatkan tuduhan Asyraf Wajdi terhadap dirinya adalah berniat jahat kononnya beliau hanya berdiam diri apabila agama Islam dan institusi raja-raja Melayu diperlekehkan sesetengah pihak.

"Ini tidak betul, ia sekadar satu usaha untuk menggambarkan kononnya saya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian Agama tidak mengambil berat malah tidak mempedulikan sebarang isu penghinaan ini.

"Sedangkan kami menyatakan dengan jelas awal lagi bahawa setiap mereka yang melakukan jenayah mesti diambil tindakan apatah lagi jenayah menghina Islam dan institusi raja-raja Melayu," katanya menerusi rakaman video berdurasi hampir empat minit, di sini.
Media melaporkan bahawa Asyraf Wajdi menyatakan Mujahid hanya mahu mengambil tindakan saman terhadap pihak yang menuduhnya sebagai alat DAP sebaliknya tidak bertindak terhadap pihak yang menghina Islam dan institusi raja-raja Melayu.

Mujahid turut menolak dakwaan mengatakan beliau tunduk kepada DAP, dan menegaskan bahawa DAP sama sekali tidak menguasai Lembaga Tabung Haji (TH).

"Ia bukan kerana DAP, tetapi kerana tuduhan itu menjejaskan TH yang mempunyai 9.2 juta pendeposit, dan kita dalam usaha pemulihan. Saya menyaman bukan kerana saya tunduk pada DAP, tetapi kerana memberi amaran dan kerana mahu menjaga integriti dan kepentingan TH," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mujahid menggesa polis untuk menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang meletakkan patung berhala bersebelahan pintu masuk utama di Surau Sabilul Huda, Pelabuhan Klang, semalam.

"Ia suatu berita yang mengejutkan kerana boleh menimbulkan pelbagai persepsi, dan lebih buruk provokasi terhadap keharmonian antara hubungan agama selain menimbulkan kemarahan," katanya yang berharap insiden seumpama itu tidak berulang.

Mengenai kejadian simbahan cat berwarna hitam pada tembok konkrit Istana Anak Bukit di Alor Setar, Mujahid mengingatkan pihak tidak bertanggungjawab agar berhenti menimbulkan provokasi.

"Tindakan ini mencemari institusi raja-raja Melayu malah akan menimbulkan kemarahan orang Melayu," katanya.

-- BERNAMA

Tag: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa, Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki, berpolitik, berhemah, tuduhan liar


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.