Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Mukhriz adakan satu lagi pertemuan dengan Exco, ADUN

Mukhriz adakan satu lagi pertemuan dengan Exco, ADUN
Pada Rabu malam, Mukhriz mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan 10 Exco Kerajaan Negeri bermula pukul 9 malam. - Gambar fail
ALOR SETAR: Menteri Besar (MB) Datuk Seri Mukhriz Mahathir sekali lagi akan mengadakan pertemuan bersama kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pagi ini.

Menurut Exco Kerja Raya, Sumber Air dan Tenaga negeri Datuk Zamri Yusuf, mesyuarat terbabit merupakan pertemuan kedua yang diadakan selepas Mukhriz tiba di Kedah sekitar jam 8.20 malam tadi.

"Pagi (Khamis) ada perjumpaan lagi dengan MB, kita jumpa," katanya.

Katanya, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut akan mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebaik sahaja selesai pertemuan terbabit.
Sementara itu, Exco Pembangunan Keluarga, Wanita, Masyarakat dan Kebajikan negeri Halimaton Saadiah Saad menjelaskan, pertemuan bersama Menteri Besar malam tadi berlangsung dengan baik.

"So far so good. Untuk rakyat Kedah, kita buat yang terbaik. Tenang, semua okay," ujarnya.
Kedua-dua mereka berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan bersama Mukhriz di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon malam tadi.

Pertemuan yang membabitkan 10 Exco Kerajaan Negeri itu berlangsung hampir 2 jam bermula pukul 9 malam.

Kemelut politik yang tercetus sejak Isnin, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan Bersatu mengisytiharkan keluar daripada pakatan itu, menimbulkan tanda tanya akan kedudukan kerajaan negeri pimpinan PH. 

Pas memiliki kerusi tertinggi dalam komposisi DUN Kedah dengan 15 kerusi, diikuti PKR (tujuh kerusi), Bersatu (enam kerusi), Parti Amanah Negara (empat kerusi), DAP (dua kerusi) dan Barisan Nasional (dua kerusi).