Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir disahkan telah mengadap Sultan Kedah kira kira jam 10.15 pagi tadi.

Pertemuan itu bagi membentangkan inti pati perbincangan dan sebarang keputusan yang berkemungkinan dibuat melalui dua mesyuarat yang diadakan bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (exco) Negeri Kedah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Kenderaan yang membawa beliau dilihat meninggalkan kediaman rasminya di Seri Mentaloon, di sini, kira kira jam 10 pagi selepas mesyuarat kali kedua bersama exco kerajaan negeri dan ADUN Pakatan Harapan (PH) negeri Kedah diadakan hampir dua jam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Perubahan Iklim, Sains dan Teknologi negeri, Simon Oii Tze Min menjelaskan bahawa hasil perbincangan bersama Menteri Besar menunjukkan hasil yang positif dan sebarang pengumuman atau keputusan yang diperoleh akan diumumkan Mukhriz selepas menghadap Sultan Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mula menghadap Sultan Kedah bermula jam 10.15 pagi dan pertemuan terbabit dijangkakan akan berlangsung lebih satu jam.

Satu sidang media khas juga akan diadakan sendiri oleh Mukhriz sebaik sahaja selesai pertemuan terbabit di Dewan Melur, Seri Mentaloon, sekitar jam 12 tengah hari.

Komposisi kerusi di DUN Kedah menjadi tumpuan ketika ini selepas Bersatu yang mempunyai enam kerusi DUN mengambil keputusan untuk meninggalkan Pakatan Harapan..

Ia sekali gus menyaksikan PAS kini menjadi parti yang memiliki kerusi tertinggi di DUN Kedah dengan 15 kerusi manakala Barisan Nasional (2 kerusi).

Gabungan Pakatan Harapan Kedah yang dibentuk tanpa Bersatu pula memiliki 13 kerusi DUN.