Mukhriz sedia ikut jejak Tun Mahathir

Isabelle Leong
Julai 11, 2019 15:36 MYT
MUKHRIZ: Saya tidak bercita-cita tinggi, saya tidak membuat ketetapan untuk menjadi perdana menteri pada suatu hari nanti seperti individu lain. - gambar hiasan
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersedia untuk mengikut jejak ayahnya untuk menjadi pemimpin nombor satu Malaysia.
Bagaimanapun, Mukhriz menegaskan beliau tidak terlalu bercita-cita tinggi dengan meletakkan jawatan perdana menteri sebagai satu kemestian.
Dalam temu bualnya bersama Nikkei Asian Review, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata beliau terbuka untuk menggalas tugas yang lebih besar dalam pentadbiran kerajaan pusat dan tidak semestinya sebagai perdana menteri.
“Saya terbuka dan ia bergantung kepada kepimpinan pada ketika itu, sama ada saya sesuai.
“Saya tidak bercita-cita tinggi, saya tidak membuat ketetapan untuk mesti menjadi perdana menteri suatu hari nanti seperti sesetengah individu.
“Apabila saya diperlukan oleh negara untuk berkhidmat di peringkat persekutuan, saya sedia dan mampu menggalas tanggungjawab tersebut,” katanya.
Tambahnya, beliau tidak akan cuba mengangkat diri sendiri seolah-olah sudah ditetapkan untuk menjadi perdana menteri suatu hari nanti.
Mukhriz, 54, merupakan anak kelima Tun Dr Mahathir dan juga satu-satunya pewaris politik dalam keluarganya.
Beliau mula berkhidmat untuk negara sebagai timbalan menteri perdagangan dan industri dari 2008 – 2013.
BACA: Kronologi krisis Menteri Besar Kedah
Pada 2016, beliau meninggalkan parti UMNO untuk membentuk Parti Pribumi Bersatu.
Pada tahun yang sama, beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah disebabkan ketegangan politik Tun Mahathir dan perdana menteri pada ketika itu iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.
#Ahli Parlimen Jerlun #ikut jejak #Jerlun #Menteri Besar Kedah #Mukhriz Mahathir #Parti Pribumi Bersatu #Perdana Menteri #Tun Dr Mahathir Mohamad #UMNO