DAP tidak akan bekerjasama dengan UMNO, kata timbalan pengerusinya Gobind Sing Deo susulan daripada tindakan keluar beramai-ramai ahli UMNO yang dilaporkan mahu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, keputusan DAP adalah muktamad dan akan membawa perkara itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH) dalam masa terdekat.

"Mereka telahpun menentang kami habis-habisan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Kita telahpun meminta rakyat menolak mereka dan rakyat telahpun menolak mereka dengan hasrat membina Malaysia Baharu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tegasnya lagi, soal bekas wakil rakyat Barisan Nasional menyertai PH harus dihalusi dengan teliti memandangkan mandat rakyat dalam pilihan raya lalu jelas menunjukkan mereka menolak BN.

"Agenda reformasi dan pemulihan negara perlu diberikan keutamaan.PH perlu menjaga kepentingan rakyat yang telahpun meletakkan kepercayaan kepada PH untuk membersihkan dan menyelamatkan Malaysia," ujarnya.

Kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan ramai ahlinya keluar daripada parti.

Pada Jumaat, tular sepucuk surat menunjukkan enam ahli Parlimen BN keluar daripada UMNO serta-merta hari ini. Surat berkenaan dialamatkan kepada Setiausaha Agung Tan Sri Annuar Musa.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam reaksinya mempertahankan pendiriannya menerima bekas ahli UMNO menyertai Bersatu.

Manakala pada Sabtu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, penyertaan Ahli Parlimen BN, terutamanya UMNO, ke dalam parti komponen PH akan memberikan kemudahan kepada kerajaan untuk menggubal dasar.

Jelasnya, penyertaan beramai-ramai wakil rakyat pembangkang itu akan memberikan PH kekuatan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.