Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor tidak menolak kemungkinan Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengambil alih Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mencapai hasrat meletakkan anaknya sebagai perdana menteri.

Rizal juga berkata, tidak mustahil untuk Dr Mahathir melakukan perkara itu untuk menyekat kemaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, Rizal turut menyelar tindakan Dr Mahathir yang menggunakan perkataan 'keling' dalam menyerang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Sengaja saya nak kenang balik, sepanjang 22 tahun beliau menjadi PM, kaum India sangat setia menyokong beliau walaupun tidak banyak dasar-dasarnya yang membela nasib kaum India.

"Apabila Mahathir tetap guna perkataan yang agak melampau itu, beliau seakan mahu menunjukkan jika menjadi PM sekali lagi, kaum India akan sekali lagi dipinggirkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, perkara ini sangat berbeza dengan Datuk Seri Najib Tun Razak yang banyak membela dan berusaha menaikkan taraf hidup kaum India di Malaysia.

"Lihat sahaja manifesto BN untuk PRU14, DS Najib mahu kaum India terus maju bersama-sama kaum lain, bukan seperti Mahathir yang hanya pentingkan kroni dan anak-anak beliau sahaja," katanya lagi.

Rizal juga menganggap Parti Amanah Negara (Amanah) yang dipimpin oleh Mohamad Sabu lebih bijak berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana tidak diharamkan oleh Jabatan Pendaftaran Malaysia (RoS).