Muslimat Pas perlu menguasai media sosial agar dapat berperanan menangkis sebarang serangan propaganda negatif terhadap parti, kata Ketua Muslimat Pas Pusat Nuridah Mohd Salleh.

Beliau berkata ini kerana dapatan daripada post morterm Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mendapati serangan media sosial merupakan faktor penyumbang tertinggi iaitu 75 peratus terhadap kekalahan Pas pada PRU14.

Beliau percaya walaupun muslimat Pas tidak ketinggalan dalam perkembangan media sosial namun masih terdapat perkara yang mereka terlepas pandang dalam perkara tersebut.

"Kita mungkin terlepas pandang peranan yang sepatutnya dimainkan muslimat menerusi media sosial hingga tidak merebut peluang dalam lapangan ini dan tidak diberikan peranan serius.

"Tiada usaha bersepadu dan berfokus, bersikap reaktif tanpa sebarang perancangan dan pendedahan dalam kemahiran menguasai media sosial khususnya dalam membuat jaringan kerjasama dengan entiti lain seperti Penerangan Pas Pusat dan Dewan Pemuda," katanya.

Nuridah berkata demikian semasa berucap pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas ke-59 yang dirasmikan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini, hari ini.

Nuridah berkata muslimat Pas juga perlu menguasai media massa yang menjadi medium utama masyarakat memperoleh maklumat dan parti itu kini sering menghadapi pelbagai bentuk serangan propaganda.

"Pas dijaja dengan gambaran buruk sebagai parti ekstrem dan sempit. Serangan propaganda dan dakyah yang menimpa Pas sekiranya tidak ditangkis dan ditangani dengan bijak mampu mempengaruhi kaum wanita sebagai pengundi majoriti dalam pilihan raya umum," katanya.

Mengulas usaha penyatuan Pas-UMNO, Nuridah berkata agenda besar itu perlu dirancang dengan penuh teliti supaya agenda Al-Quran dan Sunnah dapat dikongsi bersama, selain Dewan Muslimat Pas lebih aktif dalam memainkan peranan untuk meyakinkan Wanita UMNO.

-- BERNAMA