Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berang dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana dimalukan empat kali apabila kehendaknya tidak dituruti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, semua amarahnya berkisar keengganan Najib memberi jawatan istimewa buat anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menurutnya, apabila perdana menteri memilih untuk lebih menyokong Khairy Jamaluddin berbanding Mukhriz pada 2013, itu ‘kekalahan’ pertamanya kepada Najib.

“Bila Najib lantik KJ (Khairy Jamaluddin) jadi menteri dan Mukhriz sebagai Menteri Besar, itu kali kedua Tun Mahathir marah. Bila anaknya bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, sudah tentulah Najib sokong penyandangnya.

“Mukhriz kalah, jadi itu kali ketiga Mahathir marah. Kali keempat, bila anaknya digugurkan daripada jawatan Menteri Besar, sekali lagi dia kalah, 4-0.

“Dia marah kerana empat kali Najib tidak hiraukan kehendak dia untuk naikkan Mukhriz, anak bongsu lelaki yang dia sayang sangat,” katanya ketika berucap di hadapan penduduk dalam satu program di Kati, malam kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri menasihatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan bekas Ahli Parlimen Kubang Pasu itu kerana sehingga kini agendanya masih tidak jelas.

Menurutnya, beliau dilihat tidak mempunyai agenda untuk rakyat sebaliknya hanya mahu melunaskan dendam kesumatnya kepada Najib yang empat kali memalukannya sebelum ini.

“Mahathir cakap BR1M itu dedak. Rakyat marah bila dia cakap sebegitu dan bila dia tahu rakyat marah, esoknya dia tukar kenyataan beritahu kalau mereka menang, mereka beri BR1M juga.

“Umur dah 93 tahun, datang balik jadi perdana menteri, apa agendanya? Kita dah beri mandat 22 tahun, mengapa dah pencen 10 tahun datang balik dan beritahu nak bantu rakyat.

“Masa dia 22 tahun jadi perdana menteri, kenapa dia tak buat macam apa yang Najib buat sekarang?” tegasnya.