Datuk Seri Najib Tun Razak seharusnya memainkan peranan di belakang tabir UMNO, khususnya melihat hal ehwal atau isu berkenaan strategi parti itu sendiri.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menegaskan,
peranan itu dilihat lebih baik dimainkan bekas Presiden UMNO itu agar beliau dilihat tidak berapa menonjol di dalam parti.

"Dalam konteks ini, kita perlu melihat bahawa walaupun Najib dianggap popular di kalangan ahli UMNO, tetapi tidak semua ahli UMNO terutama golongan kelas menengah dalam parti bersetuju dengan peranan Najib dan penglibatannya untuk aktif kembali dalam UMNO.

"Mereka melihat adalah wajar Najib memainkan peranan dalam bentuk yang tersendiri khususnya apabila beliau masih berhadapan isu kes pendakwaan di mahkamah," katanya semasa dihubungi di sini, pada Rabu.

BACA: Jam tangan RM466,000 hadiah hari jadi buat Rosmah daripada Najib

BACA:
"Saya tidak selesa ada banyak wang dalam akaun" - Najib Razak

Dr Awang Azman sebelum ini meramalkan Najib sedang berusaha memperkukuhkan kedudukannya dalam UMNO dengan penubuhan sebuah kelab untuk ketua bahagian parti itu.

Jelasnya, Ahli Parlimen Pekan itu dilihat akan menjadi presiden kelab itu yang merupakan inisiatifnya sendiri.

Bagaimanapun tegasnya, langkah itu akan menjejaskan parti semata-mata.

Dalam pada itu kata Dr Awang Azman, peranan Najib kini sebenarnya kurang diperlukan dalam konteks kepimpinan UMNO hari ini.

"Sebab kepimpinan UMNO sekarang dilihat boleh bergerak secara bebas berdasarkan sentimen dan kekuatan akar umbi.

"Apa yang berlaku sekarang ialah kekuaan UMNO sekarang terletak kepada dalaman parti, bukan dilihat kebergantungan kepada pihak luar atau bekas kepimpinan parti tertinggi," jelasnya.

Tambahnya, perkara itu dibuktikan jelas semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai lalu yang melihat faktor kemenangan adalah kekuatan dalam parti itu sendiri.

"Ini merupakan suara rakyat, gerakan rakyat untuk memastikan UMNO ini bangkit kembali dan cuba merampas kembali Putrajaya daripada Pakatan Harapan (PH).

"Lebih-lebih lagi PH dilihat kurang stabil, PH bertelagah sesama mereka dan PH banyak belum dapat menunaikan janji pilihan raya.

"Kebangkitan rakyat dari dalam akar umbi UMNO lebih penting daripada pengaruh pihak luar atau kepimpinan tinggi luar yang menjejaskan kebangkitan akar umbi UMNO dari dalaman," katanya.