Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) serta-merta.

Perkara itu diumumkan Najib dalam satu sidang media khas selepas mesyuarat Biro Politik UMNO di. ibu pejabat parti di Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Pura (PWTC).

Majis itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Kesetiaan beliau kepada parti keramat tersebut terbukti apabila bekas Perdana Menteri itu mengumumkan tidak akan meninggal UMNO dan terus setia bersama parti keramat Melayu itu.

Menurut Najib, Ahmad Zahid akan menjalankan tugas-tugas Presiden dan Pengerusi BN.


"Mengambil kira keadaan semasa...dan memandangkan UMNO dan BN telah mengalami kekalahan yang amat berat (dalam PRU14), maka saya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN mengambil keputusan meletakkan (kedua-dua) jawatan itu serta-merta."

"Ini adalah kerana mengikut prinsip, sesiapa yang menjadi ketua sesebuah parti dan parti itu gagal dalam pilihan raya, maka tanggungjawab moral mestilah diterima sepenuhnya oleh orang berkenaan," katanya.


Najib berkata Biro Politik itu juga bersetuju supaya Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO manakala Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, juga Naib Presiden UMNO, menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN.

PRU14 menyaksikan penguasaan 60 tahun BN di persada pemerintahan negara berakhir apabila hanya menang 79 daripada 222 kerusi Parlimen.
BN turut hilang kuasa di Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak dan Sabah.