Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menyelar bekas pemimpin parti itu yang disifatkannya menjadi pengkhianat dan sanggup bersubahat dengan musuh untuk menjatuhkan kepimpinan parti yang pernah dipimpin satu ketika dahulu.

Dengan tidak menyebut nama mana-mana individu yang dimaksudkan, Najib berkata perkara tersebut sungguh tidak disangka setelah kepimpinan terdahulu bersusah-payah membentuk UMNO menjadi parti tunjang membangunkan dan memajukan rakyat Malaysia.

“Ia termasuklah seorang negarawan yang pernah kita sanjung. Yang menyedihkan, beliau sanggup menjilat lidah, berdamping dan bercium mulut dengan musuh, memerangi parti UMNO yang pernah dipimpin beliau selama berpuluh tahun kerana agenda peribadi.

“Kita tidak lupa selama puluhan tahun, siapa yang ajar kita dan menanam kebencian terhadap parti DAP sebagai parti cauvinis dan rasis yang membenci Melayu dan Islam,” katanya ketika berucap pada kemuncak majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-71 UMNO di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Kata Najib yang juga Perdana Menteri, disebabkan itu Pas sudah menganggap DAP menjadi musuh kepada Islam dan UMNO pula menganggap parti itu musuh orang Melayu.

Beliau juga memuji Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan memetik ucapan Presiden Pas itu yang mengatakan bahawa kerjasama antara Pas dengan UMNO adalah satu amalan politik yang sungguh matang.

“Ini kerana, politik antara Pas dan UMNO, kita tidak berkelahi, sebaliknya berpolitik untuk kepentingan bersama.

“Abdul Hadi turut menyatakan, dalam politik kita boleh berbeza pendapat, tetapi dalam isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara, kita mesti bersatu serta bersama,” katanya.