Kemunculan dan tahap populariti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di media sosial amat dialu-alukan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tindakan mesra media sosial Najib itu dilihat sebagai tambah nilai kepada perjuangan UMNO pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah tegasnya, walaupun tindakan Najib itu atas kapasiti peribadi dan bukan UMNO, beliau terbuka menerima khidmat tersebut.

“Najib dengan gaya dia apa semua, apa salahnya pula. Dia bukan atas platform UMNO sebaliknya platform dia sendiri engan tagline ‘Malu Apa Bossku’. Suka hati dia la.

“Saya yakin ini merupakan satu perkara yang baik juga dilakukan oleh beliau untuk bersama-sama menyatukan balik rakyat Malaysia supaya jangan berpecah sangat.

“Pada masa yang sama, dia dapat memberi nilai tambah kepada BN dan UMNO, ‘why not’. Sesiapa sahaja boleh untuk memberikan khidmat. Saya mengalu-alukan. Saya punya dasar saya tidak akan ketepikan sesiapa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Bicara Minda anjuran Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO menegaskan, UMNO tidak mempergunakan Najib pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands termasuk menjelang PRK Semenyih.

“Say tak menggunkan perkataan mempergunakan. Di Cameron Highlands, UMNO dan BN tidak jemput beliau tapi dia dijemput oleh warga Felda dan Persatun Tok Batin.

“Kita tak jemput tapi dia dijemput dan dialu-alukan oleh warga Felda yang minta dia datang ke Felda. Tok-tok batin yang mengenali beliau minta beliau kerana jasanya banyak.

“Mangsa tanah runtuh, dia gantikan dengan membuat rumah cantik. Jangan cepat cemburu hati. Tapi bagi saya selaku ketua parti saya amat mengalu-alukan apa sahaja yang boleh menambah nilai,” jelasnya.