Semua ahli UMNO diminta tidak menjadi pengampu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan laporan tidak benar mengenai situasi semasa negara.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Najib juga diharap dapat melihat keadaan sekeliling dan menilai sendiri persepsi dan tindak balas rakyat terhadap kepimpinannya.

"Saya bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana banyak persoalan mengenai isu negara yang tidak dijawab Najib.

"Saya sering katakan bahawa ramai kaki bodek dan kaki pengampu Najib yang ingat mereka boleh sentiasa memperbodohkan rakyat dengan membentangkan laporan yang tidak benar kepada perdana menteri," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Khairuddin mengulas catatan blog Dr Mahathir pada Khamis yang membuat kritikan paling keras terhadap Najib dan menegaskan UMNO dan Barisan Nasional akan tewas dalam PRU14 jika Najib masih menerajui parti tu.

Dalam pada itu kata Khairuddin, Barisan Nasional (BN) sendiri harus sedar akan kehadiran lebih enam juta pengundi baru pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang terdiri daripada generasi muda.

"Dengan trend Gen Y pada PRU ke-14 kelak dan sikap mereka yang lebih lantang serta gerak kerja UMNO yang lemah untuk memenangi hati nurani mereka, saya amat yakin tidak mustahil BN bakal tewas pada PRU ke-14 kelak.

"Di bawah kepimpinan Najib kini, hakikatnya UMNO semakin lemah. Gerak kerja di peringkat akar umbi juga lemah.

"Masalah persepsi rakyat terhadap kepimpinan dan keperibadian keluarga Najib juga tidak baik," ujarnya.

Katanya lagi, paling penting kini setiap ahli UMNO melihat saranan Dr Mahathir dan mengakui kelemahan yang ada.

"Cari jalan penyelesaian secara terbaik yang menjaminkan BN yang ditunjang oleh UMNO masih mampu berpaut pada kuasa pada PRU ke-14 kelak.

"Malangnya, ramai daripada pemimpin-pemimpin UMNO tidak berani bercakap masalah yang hakikat dan terus membodek kepimpinan yang lemah," katanya.

Tegas Khairuddin, dalam apa jua keadaan sekalipun, ahli UMNO mesti menjaminkan BN dan parti mampu bertahan selepas PRU ke-14 kelak.

"Ini amat penting untuk.menjaga kesejahteraan rakyat di negara kita.

"Negara kita tidak mempunyai pembangkang yang rasional selain mereka bersifat emosional.

"Sebagai realitinya juga sekiranya pembangkang memerintah negara kita segalanya akan jadi lebih teruk dengan perbalahan sesama mereka," jelasnya.

Tambahnya, nasihat dari blog Dr Mahathir dilihat terlalu ikhlas dan sayangkan UMNO.

"Kerana itu Dr Mahathir tidak nyanyuk, dia terlalu sayangkan kesejahteraan bangsa, agama dan tanahairnya.

"Sekiranya kedudukan bangsa, agama dan tanahairnya tergugat, dia akan melakukan apa saja walaupun terpaksa berjuang seorang diri untuk menyelamatkan keadaan.

"Dr Mahathir tidak mempunyai kepentingan peribadi langsung. Dia hanyalah seorang tokoh negarawan terulung yang mempunyai sifat sayangkan bangsa, agama dan tanahairnya dan mempunyai alasan yang amat kukuh untuk bercakap secara terbuka mengenai kepimpinan masa kini demi menyelamatkan negara," katanya.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata sudah tiba untuk kebenaran didedahkan berkenaan skandal dan isu yang menyelubungi pentadbiran Najib.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, Dr Mahathir pasti mempunyai asas yang kukuh untuk membuat kritikan paling keras terhadap perdana menteri itu.