Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengaku sukar mengawal keselamatan semasa penganjuran program Nothing To Hide 2.0 semalam.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya tidak mempunyai kemahiran untuk mengenal pasti individu yang berniat menimbulkan kekecohan pada program itu.

"Kita susah untuk tahu sebab kita bukan pihak berkuasa keselamatan. Memang kita bagi jaminan (keselamatan), tetapi kita tidak dapat pastikan ada pihak yang menyusup masuk apa lagi yang berpakaian seperti kita tetapi ada niat untuk melakukan sesuatu yang tidak baik kepada kita.

"Jadi kami dalam parti politik ini, tidak ada kemahiran untuk kenal siapa orang baik atau orang jahat. Kita teruskan program seperti biasa dengan kawalan keselamatan termasuk keselamatan kita yang berpakaian hitam.

"Tapi kalau ada pihak lain yang ada tujuan-tujuan yang tidak baik, macam mana kita boleh kawal," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Harapan di Ibu Pejabat PPBM di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau mahu langkah keselamatan dipertingkat dalam semua penganjuran program oleh PPBM selepas ini.

"Hal-hal seperti ini memang kita tidak duga tetapi mungkin untuk masa-masa hadapan kita perlu lebih berhati-hati. Tetapi perkara ini kalau kita lihat ia dilakukan oleh pihak yang mungkin telah merancang awal," katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata pihak penganjur Nothing To Hide 2.0 telah memberi jaminan bahawa akan memastikan keselamatan dan tidak berlaku kekecohan semasa program tersebut.