Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Otai Reformis 98 diibaratkan sebagai nyamuk oleh Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Zuraida menemplak Otai Reformis 98 selepas pertubuhan berkenaan mendesak pucuk pimpinan PKR memecat beberapa pemimpin yang didakwa melanggar displin parti itu.

Menurut Ahli Parlimen Ampang itu, kumpulan berkenaan dianggap beliau sebagai nyamuk kerana 'kerja mereka' terbang dan mengigit orang.

"Biasalah nyamuk, suka terbang-terbang, gigit orang bagi gatal-gatal. Gatal-gatal kita garu sahaja, sikit sahaja.

"Bagi saya mereka ini seperti telur separuh masak sahaja. Tidak tahu apa pun. NGO seperti ini yang tidak tahu apa-apa yang sedang berlaku dalaman lebih baik jangan terlibat. Asyik melaga-lagakan semua pihak. Adakah Otai Reformis antara NGO dikatakan? Ya, antaranya," tegas Zuraida lagi.

Zuraida berkata, kini merupakan tempoh bertenang bagi semua pihak dalam PKR demi kemakmuran dan kepentingan semua termasuk negara.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihak yang tidak relevan perlu berdiam sahaja.

Sebelum ini, beberapa nama termasuk Zuraida dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa oleh Otai Reformis 98 sebagai melanggar displin parti dan tidak menghormati Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Desakan agar mereka dipecat oleh Otai Reformis 98 susulan tindakan pemimpin-pemimpin itu keluar dewan ketika Kongres Nasional PKR 2019 berlangsung di Melaka selain lantang mengeluarkan kenyataan mengkritik pucuk pimpinan PKR termasuk Presidennya.

BACA:Krisis dalaman PKR: Zuraida pula minta Anwar bertenang