Pakatan Harapan harus bertanding di bawah satu logo dan satu manifesto seperti Barisan Nasional untuk menang pilihan raya akan datang.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kunci kejayaan parti pembangkang pada pilihan raya akan datang adalah penyatuan semua parti.

Berucap sewaktu Konvensyen Pakatan Harapan di sini, hari ini, Dr Mahathir berkata beliau memenangi lima pilihanraya selama 23 tahun sebagai Perdana Menteri dan pemimpin Barisan Nasional kerana keadaan pembangkang yang tidak bersatu.

"Barisan Nasional tidak menang kerana mereka kuat tetapi mereka menang selama ini kerana pihak pembangkang tidak bersatu-padu.

"Mereka menang kerana bila pilihanraya mereka bertanding di bawah payung yang sama. Tidak kira parti politik mana pun, mereka bertanding di bawah BN," katanya.

Dr Mahathir juga mengumumkan bahawa beliau dan presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju untuk menyertai Pakatan Harapan dan beradu dalam pilihan raya akan datang sebagai pembangkang.

"Saya harap Pakatan Harapan akan sudi menerima PPBM sebagai salah satu parti gagasan pembangkang.

"Saya kini berucap di hadapan mereka yang pernah menjadi musuh saya sendiri tetapi permusuhan saya dengan mereka adalah kecil berbanding misi saya untuk menukar kerajaan.

"Jika parti lama saya terpaksa hilang dalam usaha ini, saya tak boleh buat apa," katanya.

Tambahnya, mana-mana pihak di dalam Pakatan Harapan yang tidak mahu bersatu dan menyokong usaha parti adalah pengkhianat yang sebenarnya menyokong Barisan Nasional.

"Kalau ada pihak yang tidak mahu sertai Pakatan dan memberi alasan kerana DAP maksudnya mereka telah bekerjsama dengan BN. Mungkin mereka juga menerima dedak.

"Kita tentang sesiapa sahaja yang tidak mahu menyokong usaha kita untuk menukar pimpinan sedia ada kerajaan," katanya.

Pada Khamis, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan mengesahkan bahawa parti itu tidak akan menghadiri Konvensyen Pakatan Harapan.

Beliau berkata, PAS telah memutuskan hubungan dengan DAP dan tiada sebab untuk mereka menyertai Konvensyen berkenaan kerana hubungan telah terputus.

Tambahnya PAS hanya akan bekerjasama dengan PKR di bawah pimpinan timbalan presiden Datuk Seri Azmin Ali.

Tindakan PAS untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan menimbulkan tanda tanya dan kegusaran di kalangan pimpinan pembangkang yang tidak mahu perlawanan tiga penjuru berlaku sewaktu pilihan raya.

Perlawanan tiga penjuru dikatakan memberi kelebihan kepada BN di mana peluang kemenangan mereka dijangka meningkat.

Tanpa penyertaan PAS di dalam Pakatan Harapan, pembangkang berdepan perlawanan tiga penjuru di lebih 40 kerusi.

Apabila ditanya mengenai calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan dengan penyertaan PPBM dalam Pakatan Harapan, Dr Mahathir berkata perkara tersebut masih belum dipertimbangkan kerana isu utama kini adalah penyatuan parti-parti pembangkang di bawah satu gagasan yang sama sewaktu pilihan raya.

Konvensyen Pakatan Harapan dihadiri Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah, naib presiden Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung DAP dan Presiden Amanah, Mat Sabu.