Pakatan Harapan (PH) menegaskan akan berusaha mengembalikan mandat rakyat dengan keutamaan mengambil alih semula kerajaan.

Perkara tersebut diputuskan dalam satu mesyuarat pimpinan utama PH bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan)

"Mesyuarat telah sebulat suara bersetuju untuk menegaskan tekad dan meningkatkan usaha mengembalikan mandat rakyat dengan keutamaan mengambil alih semula kerajaan.

"Ini kerana mesyuarat bersependapat bahawa wujudnya masalah keabsahan (legitimacy) kerajaan yang berlaku akibat kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin menguji sokongan beliau di kalangan ahli-ahli Parlimen di parlimen pada esok hari," kata mereka dalam satu kenyataan yang diedarkan pada Ahad.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu diadakan bagi membincangkan reaksi blok pembangkang terhadap persidangan Parlimen yang akan diadakan pada Isnin.

Kesemua pemimpin komponen PH turut melahirkan kebimbangan terhadap tindakan meraih sokongan dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen melalui pemberian jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta duta-duta bertaraf Menteri.

"Ini adalah amalan yang tidak baik dan merosakkan perjalanan reformasi institusi yang telah dimulakan lebih 22 bulan yang lalu," kata mereka lagi.

Mesyuarat itu juga sepakat bahawa kes 1 Malaysia Develeopment Berhd (1MDB) yang berkaitan Riza Aziz yang juga anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan, menjadi petanda atau isyarat bahawa beberapa kes besar lain yang melibatkan beberapa tokoh politik akan menggunakan jalan penyelesaian yang sama.

Kenyataan yang ditandatangani oleh semua pemimpin utama PH serta Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Shafie Apdal turut sepakat bahawa sokongan terhadap Perdana Menteri sedia ada harus diuji di Parlimen.

"Kami sebulat suara dan bersatu hati menegaskan bahawa Parlimenlah institusi demokrasi ulung negara yang perlu berfungsi dengan baik bagi memastikan proses semak dan imbang berjalan tanpa sekatan di mana sokongan buat seseorang Perdana Menteri perlu diuji dan disahkan serta tempat di mana Rang Undang-Undang dan masalah rakyat perlu dibincang, dibahas dan diputuskan.

"Kami juga tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan mengadakan sidang untuk hanya mendengar Titah Diraja serta menegaskan pendirian pembangkang bahawa Parlimen boleh dan mesti bersidang lebih dari apa yang diusahakan kerajaan sekarang demi menyegerakan penyelesaian masalah rakyat," tegas kenyataan itu lagi.

Selain itu, PH juga menegaskan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM260 bilion yang diumumkan Muhyiddin sehingga kini masih belum dibentang dan diluluskan Parlimen.

"Ahli-ahli Parlimen mesti diberi peluang untuk membahaskan pakej rangsangan ini bagi memastikan tiada ketirisan dalam penyampaian bantuan kepada rakyat," kata mereka.