Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan Pakatan Rakyat masih wujud dan belum berkubur sepertimana yang ditegaskan DAP sebelum ini.

Beliau juga menyifatkan DAP tidak mempunyai hak untuk mengumumkan gabungan kerjasama pembangkang itu telah dibubarkan.

Abdul Hadi berkata, DAP tidak faham maksud Pakatan Rakyat sehingga terburu-buru bertindak sedemikian.

“Itu kenyataan peribadi dan kepada saya ia tidak tepat kerana satu parti bukan sebuah pakatan. Pakatan mesti merangkumi banyak parti. Itu maksud pakatan,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, PAS belum lagi menerima sebarang kenyataan rasmi berkenaan tindakan DAP membubar Pakatan Rakyat termasuk daripada rakan sekutunya yang lain, PKR.

“Oleh kerana Parti Keadilan Rakyat tidak membuat kenyataan yang menunjukkan kita telah berpisah, ini menunjukkan pakatan antara dua parti masih ada.

“Kami juga belum lagi mendapat keputusan secara rasmi dari DAP. Kami hanya mengetuai tentang perkara ini melalui laporan media sahaja,” Abdul Hadi berkata.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat, CEC parti menerima usul yang dibuat pada Muktamar PAS lalu untuk memutuskan hubungan antara kedua-dua parti itu.

Menurut Lim, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat CEC malam tadi.

Lim mendakwa bahawa hubungan Pakatan Rakyat terjejas akibat tindakan Presiden PAS itu mengingkari keputusan yang dibuat dalam mesyuarat pucuk pimpinan Pakatan.

Ini termasuk hasrat Abdul Hadi untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO selain menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.