Persidangan Meja Bulat Pembangkang hari ini bersetuju menubuhkan sebuah pakatan baru, Pakatan Harapan menggantikan Pakatan Rakyat yang "tidak lagi berfungsi'.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, penubuhan pakatan itu merangkumi tiga parti politik iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Katanya, krisis yang melanda negara pada ketika ini telah mendesak parti pembangkang bersatu untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Wan Azizah yang enggan mengulas lanjut tentang kesediaan menerima penglibatan PAS dalam Pakatan Harapan, menegaskan pakatan itu kini dianggotai oleh tiga parti sahaja buat masa ini.

Pakatan Harapan ganti Pakatan Rakyat

"Keadilan, DAP dan Amanah. Itu sahaja buat masa ini. NGO bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Pembangkang di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Pengerusi PKR Rafizi Ramli sewaktu ditemui wartawan memberitahu, Pakatan Harapan berbeza dengan Pakatan Rakyat kerana ia akan mempunyai dokumen yang mengikat semua parti secara bersama.

Kata beliau yang juga Setiausaha Agung PKR, dokumen itu yang menggariskan terma gabungan ini perlu dirunding semula sekiranya ada parti lain ingin menyertainya.

Turut hadir ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Wan Azizah, Kit Siang elak mengulas berkenaan PAS

Antara pemimpin pembangkang yang turut hadir sebagai panel adalah, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Selain Mohamad, turut mewakili Amanah sebagai panelis ialah Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub dan Ahli Jawatankuasa Amanah, Dr Hatta Ramli.

Manakala, DAP pula diwakili oleh Setiausaha Organisasinya, Anthony Loke dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan parti itu, Tony Pua.

Selain itu, wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut hadir, seperti Datuk Saifuddin Abdullah mewakili Akademi Belia dan Khairul Ariffin mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).