Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB), Mohamad Sabu hari ini mengumumkan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai wadah politiknya secara rasmi.

Mohamad memaklumkan, GHB mengambil alih dan menjenamakan semula Parti Pekerja -Pekerja Malaysia selepas permohonan untuk meletakkan nama Parti Progresif Islam (PPI) ditolak Kementerian Dalam Negeri.

"Melalui proses perundangan, kami Gerakan Harapan Baru telah pun memohon pendaftaran sebuah Parti Islam baharu bernama Parti Progresif Islam (PPI) selari dengan hak yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Memahami akan kesukaran untuk mendapatkan kelulusan sebuah parti baharu melalui pengalaman di dalam negara ini, maka GHB dalam masa sama yang sama mencapai matlamatnya melalui wadah politik sedia ada.

"Kita telah minta nama Parti Progresif tetapi nama Islam ditolak oleh Menteri Dalam Negeri, maka inilah muncul Parti Amanah Negara yang akan kami mohon cadangkan kepada ROS pertukaran nama. Dasar tetap Islam," kata Bekas Timbalan Presiden PAS itu dalam sidang media yang diadakan di sini hari ini.


Mohamad Sabu yang turut dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata, Parti Amanah akan dilancarkan secara rasmi pada 16 September ini termasuk pelancaran logo dan portfolio penuh parti.

Beliau yakin, lebih ramai akan menyertai Amanah bukan sahaja dari kalangan umat Islam, tetapi juga dari penganut agama lain.

Malah beliau percaya Amanah mampu menang besar pada pilihan raya umum akan datang.

"Kami yakin akan menang besar bersama dengan Pakatan Rakyat.

"Kami sedang mengumpul ahli. Hari ini baru isytihar nama parti dan setakat ini yang sudah menghantar borang itu mungkin diminta isi borang parti sebenarnya dan kita yakin, menjelang 16 September nanti, kita akan sasar ahli baru 35,000 orang.

"Tak menjejaskan. Kami yakin dengan dasar Islam yang ada dalam perlembagaan kami nanti akan dapat sokongan orang Islam dan orang bukan Islam atas sifat inklusif dalam parti ini," ujarnya lagi.

Amanah juga akan diperluas ke negeri-negeri Pakatan untuk memperkukuh parti.

"Kami akan terus memberi kerjasama dengan kerajaan sedia ada di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor,"

"Kita akan terus berusaha berbincang dan saya yakin penuh Pakatan Rakyat baru akan muncul dengan lebih kuat dan lebih hebat," tambahnya lagi.

Pada sidang media juga, Mohamad turut mengumumkan barisan kepimpinan utama Amanah yang dipilih dalam dalam Kongres Luar Biasa yang berlangsung pada 25 Ogos lalu.

Berikut senarai kepimpinan Amanah:
Seramai enam Anggota Parlimen PAS menyertai Amanah dan kedudukan mereka dalam parti gugur secara automatik.

Bagaimanapun kata Mohamad, kedudukan mereka di dalam Parlimen akan dibincangkan kemudian.

"Itu akan dibincangkan kemudian. Kedudukan di Parlimen akan dibincang di peringkat ahli-ahli parlimen dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat," jelasnya.