Parti baharu yang dipimpin bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat belum mampu memberi saingan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, ini kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat sebagai hanya satu serpihan parti daripada UMNO.

"UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 kemudian dibubarkan pada 1987 dan selepas itu hidup semula satu parti baharu dinamakan 'UMNO Baru'. Pada saya, parti UMNO Baru itu adalah parti ciptaan Dr Mahathir dan sekarang Dr Mahathir cipta lagi satu parti iaitu parti Bersatu."

"Perlu diingat juga bahawa dalam nama UMNO ada perkataan 'bersatu', parti UMNO Baru pun ada 'bersatu' dan parti sekarang dinamakan Bersatu. Bermakna ini adalah 'UMNO Baru'; beliau nak menggantikan UMNO dengan parti baharu ini," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang penubuhan parti Bersatu yang diterajui bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Dr Mahathir yang bakal memegang jawatan pengerusi parti.

Ditanya sama ada ia mampu menggugat kedudukan BN dalam PRU-14, katanya beliau tidak melihat bagaimana parti itu boleh menjadi lebih efektif berbanding parti pembangkang seperti PKR atau PAS.

"Kita tunggu dan lihat. PKR tak boleh gugat, DAP tak boleh gugat dan PAS lagi tak boleh. Bolehkan parti baharu ini menggugat apa-apa? Saya tidak yakin ia boleh. Bukan dalam tempoh lima tahun akan datang dan pilihan raya umum akan datang dalam masa dua tahun lagi."

"Cuma kelebihan mereka adalah mereka tahu apa rahsia UMNO kerana mereka pernah menganggotai parti itu. Namun saya melihat ini semua bukan perkara baharu," katanya.