Tiada muslihat politik dalam seruan ikhlas Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak semua parti politik Melayu bergabung di bawah satu parti.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, ajakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu perlu dilihat semata-mata untuk kepentingan ummah di negara ini.

“Saya amat mengenali hati budi Dr Mahathir. Apabila beliau menyatakan sesuatu, sudah pasti ada hikmah di sebalik kata-katanya itu. Kalau tidak Dr Mahathir tidak secara mudah menzahirkan isi hatinya secara terbuka.

“Beliau tidak pernah menipu di dalam perjuangan. Dalam apa situasi, akhirnya segala tindak-tanduknya hanyalah untuk kepentingan bangsa, agama serta negara.

“Sebab itulah saya sanggup berkorban apa saja untuk Dr Mahathir. Saya tidak taksub kepada beliau tetapi amat mengenali keikhlasan hati nuraninya kepada bangsa mahupun agama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

BACA: Dr Mahathir ajak semua parti Melayu bergabung bawah satu parti

BACA:
UMNO tak mahu 'jilat ludah sendiri' terima Bersatu - Khaled Nordin

Pada Jumaat, Dr Mahathir mengajak semua parti politik Melayu bergabung di bawah satu parti demi memastikan orang Melayu menjadi kuat dan tidak berpecah belah.

Katanya, setakat ini sudah ada enam parti Melayu termasuk UMNO dan sekiranya lebih banyak lagi ditubuhkan orang Melayu akan terus berpecah belah.

Dalam pada itu tegas Khairuddin, seruan Dr Mahathir yang mahukan keseluruhan bangsa Melayu bersatu padu di bawah satu platform politik harus diambil perhatian secara serius oleh semua lapisan pemimpin-pemimpin Melayu.

“Inilah saja kaedah untuk menjamin bangsa Melayu terus menjadi kuat sehingga akhir zaman. Sudah sampai masanya semua parti-parti politik Melayu duduk semeja bagi membincangkan nasihat ini secara serius seterusnya merealisasikan impian tersebut.

“Kita harus kuatkan masa depan Melayu di samping memperkukuhkan hubungan perpaduan di antara kaum serta kepelbagaian agama di negara ini,

“Matlamat kita untuk melihat Malaysia sebagai negara Islam contoh yang sentiasa mengamalkan perpaduan sesama bangsa dan agama serta hidup dalam rukun aman damai dengan keseluruhan kaum-kaum lain di tanah air yang bertuah ini,” ujarnya.

BACA: Jangan terus tolak pelawaan Tun M, lihat sudut positif - KJ

BACA:
Hanya PH boleh diharap dalam perjuangkan agenda Melayu - Mujahid

Jelas Khairuddin, selaku ‘bapa’ yang telah mengharungi penghidupan selama 94 tahun, sudah pasti seruan dan nasihat ikhlas Dr Mahathir mempunyai mesejnya yang tersendiri.

“Inilah kekuatan jati diri Dr Mahathir yang senantiasa mahu melihat bangsa Melayu bersatu secara total.

“Sebagai ‘bapa’ dan tokoh negarawan yang paling tua dan masih memimpin, seruan ikhlas ini mesti dipertimbangkan secara serius oleh semua pemimpin-pemimpin Melayu.

“Kami sanggup memainkan peranan proaktif untuk menterjemahkan hasrat ini demi kepentingan bangsa dan agama. Kita semua tidak harus memandang seruan ikhlas ini secara remeh,” katanya.

Tambahnya, semua pihak perlu berjiwa besar dan melakukan pelbagai pengorbanan untuk merealisasikan impian itu demi survival bangsa Melayu di negara ini.

“Satu badan pemikir yang terdiri daripada tokoh-tokoh pemimpin Melayu mesti diwujudkan secara kadar segera bagi meneliti, mengkaji, seterusnya bertindak ke arah mencapai matlamat yang cukup mulia ini.

“Yakinlah, seruan ikhlas ini amat penting dan tepat pada masanya untuk keseluruhan bangsa Melayu.

“Apa ertinya kepada bangsa Melayu sekiranya kita menang jadi arang dan kalah jadi abu? Apa nilainya pada orang Melayu sekiranya kita menang sorak kampung tergadai?

“Di benak kecil hati, saya amat yakin mengenai keikhlasan seruan Dr Mahathir dan turut yakin niat murni ini bukan berbaur motif politik tetapi semata-mata demi kepentingan keseluruhan ummah,” tegasnya.