Barisan Nasional (BN) Sabah akan terus memegang tampuk pemerintahan Negeri di Bawah Bayu untuk lima tahun akan datang.

Walaupun hanya menang 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semalam berbanding 48 kerusi pada PRU13, BN Sabah masih boleh membentuk kerajaan negeri itu.

Kejayaan membentuk kerajaan negeri baharu tersebut susulan tindakan calon Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang bersetuju untuk bekerjasama dengan BN Sabah membentuk kerajaan negeri.

Ekoran sokongan kepada BN itu, gabungan tersebut kini mempunyai 31 kerusi - mencukupi untuk membentuk majoriti mudah.

BACA: TERKINI! Musa Aman angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah malam ini

Untuk rekod, pada PRU14 BN Sabah menang 29 kerusi, Parti Warisan Sabah (21 kerusi), Parti Keadilan Rakyat (2 kerusi), DAP (6 kerusi) serta STAR (2 kerusi).

MUSA (tengah) bersama Jeffrey (dua dari kiri) mengumumkan kerjasama antara STAR dan BN Sabah untuk membentuk kerajaan negeri.

Ini menjadikan BN menang 29 kerusi, pakatan Warisan-PKR-DAP (29 kerusi). Parti STAR pula sebagai kuasa penentu, kingmaker, untuk menentukan pembentukan kerajaan negeri.

Tindakan STAR yang menyatakan sokongan kepada BN itu melenyapkan teka-teki parti manakah yang akan mentadbir Sabah.

Presiden STAR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan berkata, STAR akan bekerjasama dengan BN untuk menubuhkan kerajaan.

"Saya rasa gabungan ini amat sesuai untuk kestabilan negeri dan pentadbiran kerajaan negeri," katanya pada sidang media bersama Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman di Kota Kinabalu pada Khamis.