Pengundi di kawasan Parlimen Port Dickson mungkin terpaksa berdepan pilihan raya kecil (PRK) kali kedua sekiranya mahkamah memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan bertanding sebagai anggota parlimen, kata Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, PAS amat berharap mahkamah mempercepatkan pendengaran saman pemula yang difailkan seorang pengundi berdaftar di Port Dickson bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa calon Pakatan Harapan itu tidak layak menjadi calon pada PRK tu.

"Pas mengharapkan mahkamah mendengar kes ini sebelum 13 Okt bagi menghalang Anwar daripada bertanding.

"Jika pendengaran saman itu diadakan selepas hari mengundi dan keputusan kemudian mendapati Anwar memang tidak layak, pengundi di kawasan itu terpaksa pula menghadapi satu lagi PRK," katanya pada sidang media di Telok Kemang, di sini hari ini.

Jumaat lepas, sehari sebelum hari penamaan calon, seorang pengundi berdaftar di Port Dickson, Noraziah Mohd Shariff, 38, mengemukakan saman pemula bagi memohon perisytiharan mahkamah bahawa Anwar tidak layak bertanding untuk mana-mana kerusi Parlimen.

Selain itu, pada hari penamaan calon pencadang bagi calon Pas, turut mengemukakan surat bantahan terhadap pencalonan Anwar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun bantahan itu ditolak.

Takiyuddin turut mempersoalkan kelayakan calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa Presiden PKR tidak diberikan pengampunan bebas di bawah Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang melayakkan beliau bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

"Pada 16 Mei lepas, Anwar hanya dikurniakan pengampunan penuh di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang merujuk kepada 'dibenarkan dan diberi pembebasan serta-merta',

"Peruntukan khusus untuk membolehkan seseorang yang telah hilang kelayakan dari menjadi ahli parlimen atas alasan sabitan kesalahan jenayah hanya boleh dibatalkan melalui pengampunan bebas dibawah Perkara 48 (1) (e)." katanya.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan calon Pas Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar menentang Anwar dan lima calon Bebas termasuklah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

-- BERNAMA