PAS boleh menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, tegas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jelas beliau, perkara itu tidak mustahil apabila melihat kepada rekod cemerlang parti itu sebelum ini.

"Kita pernah menang di Arau dengan majoriti lebih 1,000. Insya-Allah kita boleh menang di kedua-dua (PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar). Tunggu dan lihat," katanya semasa ditemui media di luar lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau pada masa sama optimis mampu menarik sokongan pengundi terutamanya di Sungai Besar.

"Kita bertanding sudah beberapa kali di Sungai Besar, jadi saya optimis (boleh menang)," tegas beliau.

Mengulas sama ada PAS ada bermesyuarat dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat bagi membincangkan isu pilihan raya itu, ini jawapan beliau: "Tidak. Saya dan Azmin tidak bermesyuarat berhubung perkara itu," jelasnya.

Sebelum ini, PAS bertegas akan meletakkan calonnya pada PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan berlangsung Jun depan.

Abdul Hadi berkata Majlis Syura parti itu telah meluluskan nama-nama calon yang bakal bertanding pada PRK itu.

Kerusi Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak kosong berikutan dua penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Susulan itu juga Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh PRK bagi kedua-dua kawasan dijalankan serentak pada 18 Jun nanti.