Pas menjangkakan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) akan terus merosot menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Tuan Ibrahim perkara itu berdasarkan beberapa indikator yang sehingga kini masih gagal diatasi oleh PH selepas lebih setahun mentadbir negara.

"Selalunya momentum sokongan akan berubah selepas dua tahun, maknanya kalau boleh atasi banyak kekurangan dalam masa dua tahun, momentum sokongan akan melonjak.

"Namun saya jangka dia (sokongan terhadap PH) makin teruk sebab indikator ke arah pemulihan tu hampir tidak dilihat sangat.

"Nilai duit kita yang makin teruk, peluang pekerjaan yang kita lihat ramai yang hilang pekerjaan, anak muda yang rasa kecewa dengan apa yang berlaku.

"Jadi dengan indikator ini saya nampak tidak ada penyelesaian masa hadapan terhadap masalah yang dihadapi rakyat," katanya dalam satu temu bual bersama Astro AWANI.

Beliau akui bahawa Pakatan Harapan memerlukan tempoh untuk mengukuhkan kedudukan namun rakyat melihat selepas setahun terlalu banyak polemik dalam gabungan tersebut.

Katanya, rakyat melihat Pakatan Harapan tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat kerana kegagalan mengatasi polemik dalaman gabungan tersebut.

"Sehubungan dengan itu kita lihat mood perubahan sokongan kepada PH itu semakin hari semakin jatuh dan ini ditambah lagi masalah dalaman parti-parti dalam Pakatan Harapan," katanya lagi.

Mengulas mengenai UMNO pula, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berpendapat biarpun Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerajaan pusat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu tetapi UMNO sebagai parti utama gabungan tersebut masih kuat.

Menguatkan hujahnya, Tuan Ibrahim berkata jumlah 2.5 juta undi yang diperolehi oleh UMNO dalam PRU14 yang lalu merupakan bukti pengaruh parti terbasar orang Melayu itu masih kuat.

Beliau juga berkata, BN tumbang dalam pilihan raya umum itu kerana parti-parti komponennya gagal mendapat sokongan masyarakat bukan Melayu.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berkata BN ditolak kerana pengundi mahu kerajaan baharu membuat dasar yang tidak membebankan rakyat.

"Tetapi setelah setahun berlalu, kita boleh dengar, ada indikator yang memperlihatkan kepada kita bahawa rakyat mula kecewa.

"Tiga pilihan raya kecil terakhir sebagai contoh benar-benar rakyat tunjuk biarpun tiga pilihan raya kecil yang awal mereka tak tunjuk sangat perubahan tetapi tiga pilihan raya kecil yang mutakhir nampak rakyat mula tunjuk dengan Pakatan Harapan," katanya.

Selepas PRU14, Pas dan UMNO sedang membentuk kerjasama politik yang mendapat perhatian rakyat dan penganalisis politik.