Perbincangan kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan Pas kini sudah memasuki fasa rundingan pembahagian kerusi yang ingin ditandingi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Presiden PPBM Tan Sri Muhyddin Yassin memaklumkan perkara tersebut tanda kemajuan perbincangan yang berjalan antara dua parti itu yang diketuai Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dengan Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man.

Malah, Muhyiddin menyifatkan hubungan PPBM dengan Pas semakin ‘mesra.’

“Kita sudah dapat isyarat baharu untuk Pas mengajak kita bincang tentang pembahagian kerusi.

“Jadi, ia merupakan cara baik untuk bergerak ke hadapan dan kita akan mulakan (rundingan) dalam pertemuan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PPBM di sini pada Rabu.

Bagaimanapun jelas Muhyiddin, kerjasama itu perlu diusahakan sebaik mungkin dengan mengambil kira kerjasama yang telah dibuat dengan Pakatan Harapan bagi mengelakkan berlaku pertembungan kerusi yang dituntut antara parti pembangkang.

Ia penting katanya untuk membentuk pakatan yang mantap sekaligus memberi persepsi baik dan keyakinan kepada rakyat terhadap barisan pembangkang berdepan tentangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kita masih berpendapat satu kerangka kerjasama dengan Pas mesti jelas, dan juga mengambil kira hubungan kerjasama yang sudah dijalin dgn Pakatan Harapan.

“Dalam pemerhatian pimpinan PPBM, melihat ke hadapan iaitu PRU akan datang, semua pihak boleh bersetuju bahawa untuk menentukan kemenangan yang agak mudah ialah pertandingan satu lawan satu,” tegasnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan tetap akan berlaku perebutan berikutan pendirian Pas yang tetap tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berhubungan dengan DAP, tetapi kata Muhyiddin beliau yakin ia dapat diselesaikan.

Berhubung kerjasama dengan Pakatan Harapan pula, Ahli Parlimen Pagoh itu menyatakan bahawa pihaknya sudah mengenal pasti kawasan-kawasan yang ingin ditandingi dan perkara itu sedia dibentangkan dalam mesyuarat rundingan akan datang.