Pas sedang mengkaji tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa berhubung jemputan ke Solat Hajat Wisma Tok Guru yang disifatkan sebagai provokasi angkuh.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, tindakan Husam seperti mendahului keputusan Mahkamah Tinggi Malaya terhadap Injuksi Erinford pada 8 Januari lalu.

"Pas tolak jemputan itu dan tidak berminat untuk melayan ucapan Husam, tetapi hal ini melibatkan keputusan mahkamah maknanya ada kaitan dengan parti.

"Husam melalui satu video di Facebook Pemuda Amanah Kelantan mengisytiharkan solat hajat dan menjemput Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan ahli Pas, itu satu ucapan angkuh, sombong dan provokatif," katanya di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, tadi.

Beliau berkata, Adun Salor itu juga dikatakan mendahului mahkamah apabila berkali-kali menyebut beliau tuan punya bangunan sedangkan belum ada keputusan dibuat mahkamah terhadap hak milik wisma itu.

"Keputusan Injuksi Erinford lalu bertujuan mengharmonikan keadaan sementara keputusan sebenar dibuat, namun tindakan beliau seperti mencabar dan bercanggah.

"Dalam keputusan itu, defendan (Mohd Yasin Yusoff) tidak boleh mengganggu plaintif (Husam) masuk ke kawasan itu dan arahan setakat plaintif sahaja, yang lain boleh dihalang.

"Hak masih kepada Pas untuk guna kawasan, yang lain tidak dibenarkan masuk ke kawasan," katanya.

Katanya, Pas juga meminta Husam menghentikan provokasi atau mengelirukan penyokong parti masing-masing sehingga hak milik wisma itu diputuskan mahkamah.

Sebelum ini, mahkamah membenarkan permohonan Injunksi Erinford oleh Husam terhadap Mohd Yasin juga Setiausaha Kerja Pas Kelantan sehingga rayuan permohonan injunksi plaintif didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Malaysia.

Mahkamah turut memerintahkan tarikh sebutan semula pada 12 Februari depan sama dengan tarikh pengurusan kes induk Writ Saman yang difailkan Mohd Yasin terhadap Husam supaya mengosongkan bangunan itu.

Sebelum ini, injunksi plaintif terhadap writ saman itu ditolak mahkamah sama pada 16 November 2017.

Isu perebutan tanah di Pendek, Salor, di sini, mendapat perhatian bermula susulan tanah asal milik bekas Adun Salor, Allahryarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim atas nama isterinya sebagai pemilik dijual kepada Mohd Yasin dengan harga RM700,000